Wednesday 28 October 2009

Allah tempat meminta...INGAT TU!!!



SALINA, FARAHDINA. A SAMAD SAID dan AL –IKHLAS

Saya sedang mengemas-ngemas kotak buku apabila terjumpa naskhah lama novel yang pernah menjadi bualan hangat suatu masa dahulu, SALINA. Hasil karya sasterawan negara, A SAMAD SAID. Tergerak hati untuk membacanya, lantaran plotnya yang banyak lainnya daripada novel-novel arus perdana yang banyak ada di pasaran sekarang (sebenarnya saya juga sudah terlupa samada saya pernah membacanya sebelum ini atau tidak, mungkin pernah, tapi berbelas tahun dahulu, semasa masih di bangku persekolahan rendah sehingga saya sudah terlupa langsung jalan ceritanya bagaimana).
Sepanjang pembacaan, saya tidak menepati kerisauan para pengkritik sastera terdahulu yang begitu khuatir dengan kekerasan latar yang terpamer di dalam novel tersebut. Dahulu, mereka sangat bimbang bahawasanya masyarakat pembaca tidak dapat menerima watak SALINA yang dimainkan oleh seorang pelacur. Saya tidak tahu orang lain, tetapi saya sedikitpun tidak jelik dengan adegan pelacuran yang digembar-gemburkan itu, yang pernah menimbulkan kerisauan kepada para pengkritik sastera terdahulu. Ikhlas pada pengamatan saya, adegan itu tidak seteruk mana (HAMPIR TIADA PUN) berbanding yang tersiar di 360 atau dalam filem remaja “Bohsia”. Mungkin jika 360 atau Bohsia diterbitkan sezaman dengan SALINA, maka Mazidul Akmal Sidek dan Syamsul Yusuf Haslam perlu menghadap lebih banyak pertanyaan yang dikemukakan oleh para pengkritik berbanding yang dialami oleh A SAMAD SAID.
Cumanya, tekak terasa kembang sedikit saat A SAMAD SAID menceritakan perihal tandas berek PWD yang dikongsi oleh masyarakat majmuk penghuni berek PWD yang sudah sedia padat, dan bila malamnya ditumpangi pula oleh penghuni setinggan di Kampung Kambing yang tinggal di dalam bekas kandang kambing yang sebenarnya tidak layak untuk dihuni oleh masyarakat kambing pun. Juga ada sedikit rasa mahu termuntah tatkala A SAMAD SAID membawa pembaca menghayati binaan-binaan longkang tanpa disimen dan isinya yang terapung-apung bersama-sama najis kambing belaan Kurupaya Samy (pemilik Kampung Kambing) yang juga turut bertindak sangat berperikemanusiaan dengan menyewakan bekas kandang kambingnya kepada sekumpulan manusia yang ketika itu sangat memerlukan tempat tinggal selepas bergawat-gawatan menghadapi perang dan kematian serta kehancuran (peace no war :p).
Boleh saya katakan di dalam SALINA, biarpun SALINA, si pelacur itu yang memainkan watak utama sehingga namanya diangkat menjadi tajuk novel, tetapi adegan pelacuran itu hampir tidak ada, sebaliknya yang lebih banyak merencahi plot novel adalah kisah masyarakat di Kampung Kambing dan bagaimana ahli masyarakat seperti SALINA, Hilmy, Katijah, Sunarto, Zarina, Abdul Fakar, Haji Karman, dan Nahidah (seingat saya) memberi peranan kepada kelompok masyarakat Kampung Kambing mereka, dalam menjalani hidup sehari-hari sebagai masyarakat yang cuba bangun semula dalam era pasca perang dunia kedua.

A SAMAD SAID nampaknya sangat berjaya membawa imaginasi orang seperti saya merentasi waktu, berpuluh-puluh tahun sebelum saya dilahirkan.

Ketika jam merangkak ke hampir angka 2 pagi, saya masih berjaga, membaca SALINA. Entah apalah mimpinya saya, sewaktu di zaman ijazah dahulu, kalau mahu membaca buku pelajaran, sangatlah liat. Tetapi kali ini tidak dipaksa, tidak diminta, mata sentiasa sahaja mahu terbuka.

Lalu saya meneruskan pembacaan. Mata masih belum mengantuk. Sekitar bab 16,muka surat 197 saya terpaku seketika.

Dalam babak itu, Haji Karman datang merapati SALINA yang dalam keresahan. Lalu beginilah yang terjadi.
Dia bertanya, “Inah tau surah Al Ikhlas?”
SALINA menggeleng. Kerana tidak tahu, walaupun berulangkali ketika Haji Karman membacakan surah itu perlahan-lahan. Qulhual’lahuahad.Allahus’samad. Lam yalid walam yulad. Walam yakullahu kufu’an ahad.Selepas itu dia memberikan ertinya pula : “Katakanlah (Ya Muhammad) bahawa Allah itu satu.Allah tempat meminta. Tiada ia beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tiadaseorang pun yang menyerupai –Nya.”Siti Salina diam mendengarkanyya. Haji Karman terus mengatakan , “ Ha, ingat! Allah tempat meminta. Sekarang kau harus minta kepada-Nya-minta ketenangan atau apa sahaja. Insya Allah Tuhan akan kabulkan permintaan kau itu.Ingat, Tuhan adalah pengasih dan penyayang.
Benar. Ada benarnya. Inilah mesej dakwah yang cuba disampaikan. Inilah yang hendak disampaikan oleh A SAMAD SAID. 
قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدُۢ (٤)
[1]Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
[2]"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
[3]"Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
[4]"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".
(Al Ikhlas 1-4)
Allah itu tempat meminta. Tiada tempat lain yang perlu dipinta. Hanya Dia! 
Bagaimana saya ini boleh terlepas pandang pada empat ayat surah pendek bergelar AL IKHLAS ini. Berapa banyak masa saya habiskan dengan menangis sendirian, mengongoi, mengadu (pada manusia) tatkala ditimpa masalah berbanding dengan berteleku, bersolat, bersujud,bertasbih, mengadu kepada Allah, berdoa memohon pada Allah supaya ditenangkan hati, dipermudahkan jalan,dikeluarkan daripada belenggu masalah. Sedangkan Allah sudahpun mengingatkan melalui surah sependek empat ayat ini bahawa Dia adalah tempat meminta. ALLAH TEMPAT MEMINTA!
Sungguh inilah yang adanya pada saya sebagai manusia. Kelemahan demi kelemahan. Saya berusaha menghafaz Al Quran, tetapi sangat jauh daripada pengamalan. Beberapa tahun daripada usia saya terbazir dengan berungut-rungutan, bersedih-sedihan dan menangis-nangis apabila ditimpa masalah, apabila ada perkara yang tidak saya ingini terjadi, yang saya hajati tidak termiliki. Sedangkan sudah lama saya mempelajari surah AL IKHLAS ini, tetapi sangat sedikit hikmah yang saya kutip daripadanya. Lebih tepat, sekadar menjadi bacaan pada rakaat pertama atau kedua ketika solat sendirian kerana ayatnya yang hanya ada empat menjimatkan waktu. Malunya saya kepada Al Quran. Dangkalnya saya sehingga empat ayat ini saya boleh terlepas pandang.
Bukankah hikmah itu, biar sekecil saiz mikroorganisme , ia tetap wajar direbut? Ilmu dan peringatan itu, walau hanya sependek empat ayat, nilainya adalah untuk dikutip dan dihimpun banyak-banyak dalam dada serta diamalkan sepanjang hayat.Hikmah itu, biarpun disampaikan oleh orang tua serabai dan nampak tidak alim seperti A samad Said ini, tetapi tetap ada nilai ilmunya.
Jam hampir 3 pagi, saya tertidur. SALINA masih belum saya habiskan pembacaannya. Insya Allah nanti akan saya habiskan. Jika ada pengajaran sehebat episod AL IKHLAS itu, akan saya catatkan lagi di sini.
---biarpun sukar bagiku melamar redha-Mu namun masihku mengharap ampunan-Mu...Wahai Tuhanku...Ya Allah---

mabruk...mabruk...mabruk...


Alhamdulillah...Sahabat-sahabat sekalian yang baru dan bakal bergelar pengantin baru. Semoga menjadi zauj dan zaujah solehah, bercinta hingga ke syurga hendaknya

Queen’s University
Rasyad & Khalilah
UKM
Sufian aka Pian Specky & Marina
Izzatul Marlini & Hakim
Fattah & Husna
Iqhlima & Sazreen
UM
Zaiful & Syila
Asyraf & Umi Aqilah
Darul Quran
Sarifah & Zahid
Nurul Huda & Sulaiman
ABS
Syiqah (Asydad’s sis)& Meor Hafandi
KISAS
Yasmin & Ammar
SMKSA
Rohaizan & Atiqah
Jamillah & Farid
Fuad & Nurul Hikmah
Sri Hira’
Nani Izati aka Uca & Hafiz
Hanan & Sabri
SKBH
Wan Syima aka Alang & Zulkeifli
Al-Fathir aka Mr Gem & Munirah
Zaki & Hafizah
Suhaidah & Kusyairy aka Motak
Halim aka Kubin & Mardhiah
Petronas Carigali Terengganu
Zulaikha & Ikhwan
Nazry & Fatimah
Petronas Penapisan Melaka
Azim & Farah (bukan saya ok)
Aisyah & ??? (masih rahsia, insya Allah 1 Nov nanti bakal terbongkar segalanya...hehe)
Bloggers
Firdaus & Fazreen
Kakak saya
Kaklong Asyikin & Raffal
(Ramainya orang kahwin, Alhamdulillah)
(baby Salsabila)
Dapat baby...alhamdulillah...didiklah menjadi anak soleh dan solehah...
UKM - Aqif aka Bulat & Suhaila, baby : Nur Fitrin Adila
UKM - Zaidah & Hazwan, baby : Aneeq Al Hidayat
UM - Sabariah & Hafizi, baby : Syahid
Darul Quran - Malina & Tawfeq, baby : Ameer Luqman
Zamalek – Iskandar & Rasyidah, baby : Salsabila
Sudah bertunang...semoga berbahagia hingga ke jinjang pelamin dan bakal menjadi zauj dan zaujah solehah hendaknya
Alifuddin & Nur Suria (SKBH)
Maziah & Nazirul (UKM)
Hasina & Irsyad (UM)
Graduasi... semoga berjaya dalam kerjaya dan kehidupan, menjadi muslimin dan muslimat harapan ummah
Semua junior saya di UKM yang bergradusi pada sesi baru-baru ini
Best friends ever : Ehcan (UKM), Mie (UKM), Izzaty (UKM)
Hasina (UIA)
Farahin (UM)
Nurul Huda (UMS)
Mardhiah (UDM)
Syarifah Aziyan ( Univ. Gadjah Mada)
Asyraful (UUM)
Liyana (MSU)
Fatihah (MSU)
Fatihah (KTIAM)
Zamry ( UiTM Jengka)
Fadillah (Kobe Univ. Jepun)
Tuan Nazri aka Sir (Manipal, India)
Saifullah (RCSI)
Hakim (DBS)
Yasmin (Queen’s Univ.)
Farizah (Kolej Kejururawatan Taiping)

Alhamdulillah. Nur Islam sudah bersamamu. Semoga menjadi mukmin sejati insya Allah
Liyana Binti Abdullah (UKM)
Azman Chong Bin Abdullah (Petronas Penapisan Melaka)
Louie Abdul Azziz (BP Caw Dubai,Metalurgy Dept.)

Mabruk...mabruk...mabruk semuanya. Terima kasih atas jemputan, ingatan serta makluman. Semoga kebahagiaan dan keberkatan serta rahmat Allah mengiringi kalian

Friday 23 October 2009

Hantu atau pencuri?


Beberapa hari lalu, ketika operasi mengemas untuk berpindah, saya baru tersedar bahawa sepasang safety boots yang saya beli semasa menjalani latihan praktikal telah hilang. Mungkin kerana sudah lama tidak dipakai, safety boots itu merajuk lalu menghilangkan diri. Barangkali dicuri atau juga saya sendiri tersalah letak, biarlah. Saya jarang menggunakan safety boots sekarang walaupun safety helmet penting juga dalam karier yang sekarang ini. Untuk melawat project site, di Umm Al Quwein terutamanya, safety helmet sahaja yang penting kerana orang nampak. Safety boots tidak penting, pakai jubah labuh sedikit, maka tiada siapa yang akan menilik sehingga ke kaki. Lebih-lebih lagi bagi jurutera perempuan.

Cerita tentang episod kecurian ini, saya ada satu kisah yang berlaku ketika dalam tahun ketiga pengajian peringkat ijazah sarjana muda. Kira-kira 2 tahun lepas. Waktu itu saya dan rakan-rakan menyewa di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, berdekatan Nilai dan KLIA.

Pada malam sebelum itu, ketua rumah kami, Cik Su telah mengkhabarkan berita hangat yang tersebar ke seluruh pelusuk taman bahawa rumah yang betul-betul di sebelah rumah kami, yang didiami oleh sebuah keluarga Melayu telah dimasuki perompak yang mengacukan parang ke leher anak bongsu keluarga tersebut yang baru sekolah tadika, mengugut ibu bapanya supaya menyerahkan barang berharga jika tidak mahu anak kecil mereka dicederakan. Sewaktu kejadian itu, rumah sewa kami kosong kerana sudah sampai penghujung ramadhan, dan kami semua sudah pulang ke kampung halaman untuk berhari raya. Jadi berita rompakan tersebut hanya tiba ke telinga setelah kami pulang selepas tamat cuti hari raya.
Ketika Cik Su memberi perkhabaran tersebut, kami tidak ambil berat sangat. Malah sempat berlawak jenaka. Yang saya ingat, Iqi berkata begini, : Kalau perompak tu datang, kau bagilah dia buku kimia aku ni, mana tau dia insaf tengok buku ni tebal sangat, terus berhenti jadi perompak, nak jadi engineer pulak. Ada pula yang berkata, : Alah perompak tu tengok pun tau kesian, rumah students, mana ada duit. Kita nak makan pun mintak mak bapak. Wajiha pula dalam lenggang lenggoknya berkata,: Perompak tu cuti rayalah wei. Saya pula sempat bergurau seperti ini: Kalau dia datang, aku hidang kuih rayalah, sempena hari raya yang mulia ni.

Cik Su sebagai ketua rumah hanya menumpang gelak. Tapi sebagai seorang ketua yang bertanggungjawab, beliau sempat mengingatkan, :Gelak-gelak juga. Tapi rumah kita ni semua perempuan. Bahaya juga kalau yang merompak tu lelaki. Namun nasihat Cik Su tidak kami ambil pusing sangat sambil kami bergelak ketawa bermain kejar-kejar di dalam rumah.

Jam 3 pagi saya bangun dari tidur, turun ke ruang tamu untuk memulakan rutin harian. Ada beberapa rakan lain sudah bangun. Cik Su, Bihah dan Mira. Bangun untuk bersolat dan mengulangkaji. Memang menjadi kebiasaan bagi kami yang bangun solat dan belajar pada awal pagi akan berada di ruang tamu kerana tidak mahu mengganggu rakan lain yang sedang tidur di dalam bilik.

Selesai solat, saya juga turut membuka buku. Sambil berborak-borak. Antaranya tentang kebimbangan masyarakat sekeliling tentang kes rompakan yang semakin berleluasa di kawasan Sepang waktu itu. Terutamanya di taman perumahan kami yang terletak jauh daripada penempatan manusia lain. Tapi kami, penghuni rumah tersebut langsung tidak gusar. Kerana sangat pasti rumah kami akan selamat dengan keyakinan sebegini, rumah ni tengok dari depan pun tahu rumah bujang, mustahil perompak nak masuk.Ye waktu itu kami sangat yakin dan pasti dengan pendapat sebegitu. Malahan kami sangat berani. Sehingga kami berani tidur malam tanpa menutup pagar, mengunci pintu gril dan juga pintu kayu depan dan belakang. Serta membiarkan sliding door terbuka luas. Sangat berani kami waktu itu.

Tapi keberanian kami tidak kekal lama. Sekitar jam 4.30 pagi, sewaktu sedang kusyuk mengulangkaji pelajaran, tiba-tiba, kami terdengar bunyi tombol pintu dipulas secara paksa dari luar rumah. Mujurnya Cik Su sempat menekan punat pengunci sewaktu turun ke ruang tamu untuk mengulang kaji tadi. Maka kami, dengan tidak cukup lantainya berlari menaiki tangga sambil menjerit-jerit, “perompak-perompak. Tolong” bagi mengejutkan rakan-rakan lain yang sedang tidur di bilik atas. Kalau boleh, sehingga jiran-jiran pun kami mahu kejutkan juga. Padahal belum tentupun yang memulas tombol itu benar-benar perompak. Kerana kami tidak sempat menjenguk untuk memastikan, terus sahaja lari bertempiaran.

Yang paling teruk menjadi mangsa, adalah Cik Su yang ketika kejadian sedang tidur-tidur ayam di sudut ruang tamu, apabila Mira yang gelabah dan tidak sempat mengejutkan Cik Su telah bertindak mengheret sahabat kami yang seorang itu sehingga ke kaki tangga. Biha yang waktu itu sedang solat hajat juga terus berlari dengan bertelekung apabila terdengar kami menjerit-jerit perompak. Masa nak naik tangga pun satu hal, bertolak-tolak sampai saya jatuh tersadung, terseliuh kaki, tapi saya dengan kaki yang terseliuh, terus berlari juga naik ke atas. Saya pasti, kalau itu adalah sebuah latihan kebakaran, maka kami akan didenda melakukannya untuk kali kedua, ketiga dan keempat. Sudahlah tangga itu tangga kayu, bunyinya sangatlah bising apabila ada orang berlari-lari naik atau turun, Apatah lagi apabila yang mahu naik itu seramai 4 orang, ditambah lagi dengan mulut yang bising, menjerit-jerit. Kalau benarlah yang memulas tombol pintu itu adalah perompak, maka dia pun akan berlari ketakutan mendengarkan jeritan kami yang sangat bising itu.

Awal pagi itu, kami serumah seramai tujuh orang ini bersempit-sempit di dalam satu bilik, menunggu diselamatkan mungkin. Ketika hari sudah terang, kami menjenguk melalui tingkap ke bawah, barangkali yang kami ingat perompak itu pun sudah balik rumah tidur.

Jam 8 pagi, sewaktu sedang menghidupkan enjin kereta untuk pergi ke kampus, saya terserempak dengan Aunty Syila, jiran sebelah rumah kami. Dia mahu ke tempat kerja. Jadi saya dan Cik Su pun mengambil kesempatan untuk berbual.

Cik Su : Aunty, malam tadi rumah kami nyaris nak dimasuki perompak. (Ayat menduduh, padahal tak tahupun itu betul-betul perompak ke tidak)

Aunty Syila : Yeke? Pukul berapa? (Aunty Syila buat muka terkejut)

Cik Su : Dalam pukul 4.30-5 tu.

Farah : Betul Aunty, takut kami semua. Berlari kami naik ke atas. Perompak tu pulas tombol pintu. (Saya menunjukkan aksi seperti ketakutan sambil membulatkan mata)

Aunty Syila : Lah, yeke. Aunty dengar bunyi bising dari rumah you all dalam waktu tulah. Bunyi orang naik tangga. Aunty ingatkan you all bangun sahur untuk puasa 6.

Cik Su : Erk, aunty we all nyaris nak kena rompaklah, bukan bangun sahur. (huhu)

Kami berpisah di situ kerana Aunty Syila perlu ke tempat kerja. Sebelum berpisah, Aunty Syila sempat mengingatkan kami supaya lebih berhati-hati di lain kali. Aunty Syila juga menasihatkan kami supaya membeli kunci mangga untuk pintu-pintu gril dan pagar.

Balik dari kuliah pada hari tersebut, semua orang dengan semangat baru, ingin lebih menjaga keselamatan. Bukan 1, bukan 2 malah 5 kunci mangga bersaiz gajah kami beli untuk mengunci gril, sehingga terlebih, tidak tahu lagi di mana mahu dimanggakan. Mungkin boleh dibuat loket, digantung di leher.

Saya juga sangat terkesan dengan pesanan Cik Su sebagai ketua rumah kami, kata Cik Su : Korang semua ni control lah volume suara korang. Jangan suka menjerit-jerit, naik tangga tu janganlah selalu lari-lari dan jangan suka main kejar-kejar dalam rumah. Korang tau tak, jiran pun confuse dengan kita. Jiran pun payah nak bezakan kita ni samada menjerit mintak tolong sebab kena rompak ke atau menjerit saja-saja. Sampai Aunty Syila ingat kita memang bising sebab bangun sahur nak puasa enam. (Huhu...Saya pun tahu itu. Memang Aunty Syila telah terkeliru dengan kami)

Semenjak hari tersebut, kami semua lebih berhati-hati. Dan yang pasti, kami mengunci segala jenis pintu yang ada di rumah sewa kami tersebut dengan kunci mangga dan juga rantai bersaiz gajah rimau. Alhamdulillah, sehingga saya keluar daripada rumah tersebut, rumah kami tidak pernah dikunjungi perompak lagI .(barangkali perompak tersebut sudah trauma dengan jeritan kami)

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
أُولَـئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَـئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

“Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berkata : Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali (inna lillahi wa inna ilaihi rajiun).Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka, serta rahmatNya, dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya”.(Al Baqarah 155-157)

Thursday 22 October 2009

Aduhai emak...


Satu masa dahulu, semasa berumur 16 tahun,ketika itu saya sedang menuntut di pusat Asasi Sains UM, saya terpandang dan terdengar satu peristiwa yang sampai masa ini selalu menghibakan hati dan jiwa saya serta selalu menjadi alerting reminder kepada saya apabila saya bermalas-malasan mahu belajar.
Ini kisahnya:

Pada satu hari, di penghujung Ramadhan tahun 2003,sekitar 2 hari terakhir puasa, mama menyuruh saya pegi ke kedai runcit berdekatan membeli bawang dan rempah sup. Mula-mula saya merungut, alasan saya malas mahu pakai tudung dan menyalin baju lengan panjang. Sebenarnya saya tidak mahu meninggalkan video game yang sedang dimainkan dengan adik-adik saya. Risau nanti mereka akan jalan dahulu dan saya pula akan kalah. “Alah, suruhlah Kakngah ke Kaklong ke. Kalau nak pergi kedai je mesti suruh Kak Farah”.Saya merungut. Mama diam sahaja. Saya tahu mama marah. Lalu sayapun mengikut mama sehingga ke dapur. Rela dalam terpaksa. Tapi setelah melihat ketiga-tiga kakak saya berkumpul di dapur, membantu mama menyiapkan juadah untuk berbuka puasa,saya terus jadi rela untuk pergi ke kedai. (Sebenarnya tidak mahu disuruh menolong di dapur juga kalau tidak ke kedai, lagi saya malas tu)

Jarak kedai dengan rumah saya hanya selang sebuah rumah. Sangat dekat, jadi saya dan adik beradik antara yang paling kerap ke kedai berbanding penduduk taman yang lain. Ketika sampai di kedai, saya melihat ada sebuah keluarga sedang membeli persiapan untuk memasak juadah berhari raya mungkin. Ada serai, ada daun kunyit, lada api, rempah kari, macam-macam lagi. Ketupat segera pun ada. Keluarga itu terdiri daripada seorang lelaki dewasa, perempuan dewasa dan seorang wanita tua. Saya kenal lelaki itu, iaitu pakcik yang selalu bertenggek di lori sampah yang memungut sampah di kawasan perumahan kami. Saya selalu nampak pakcik tersebut mengangkat tong sampah di belakang rumah saya, mencurahkan isinya ke dalam lori sampah dan meletakkannya kembali ke tempat asal. Saya senyum sahaja kepada pakcik itu. Mungkin beliau tidak kenal saya pun.

Saya lihat perempuan tua (mungkin ibu kepada pakcik tersebut kerana wajahnya yang mirip antara satu sama lain) membelek-belek kuih-kuih raya yang dijual. Kuih-kuih yang bermacam-macam jenis. Ada kuih tart, batang buruk, biskut makmur dan suji. Perempuan tua mengangkat bekas berisi kuih tart, menunjukkan kepada anaknya.
“ Sedap nampaknya kuih ni. Mat, boleh emak beli yang ini?”
Saya nampak wajah pakcik tersebut bertukar rona. Serba salah gamaknya. Dia lantas meraba poket seluar, mengeluarkan dompet. Menjenguk isinya seketika. Emaknya masih menunggu persetujuan si anak. Tangannya masih erat memegang bekas kuih tart.
“Tak bolehlah emak. Duit ni cukup-cukup nak buat beli barang tu aje”. Si anak berkata sambil menunjuk ke arah barang-barang yang terletak di atas kaunter. Perempuan tua mengangguk-angguk sambil meletak kembali bekas kuih tart ke dalam rak. Ada riak sedih di wajahnya.
Saya? Pastilah sangat pilu dan sedih. Sebentar tadi baru sahaja saya menyanggah cakap seorang ibu dan memberi pelbagai alasan untuk mengelak suruhannya, dan kini kisah seorang ibu yang lain menyentak hati saya.
Semenjak hari itu, saya berazam untuk belajar dengan lebih tekun. Kerana saya tidak mahu memberi alasan duit tidak cukup apabila mama mahu saya membelikan sesuatu. Saya pasti, mama saya tidak perlu meminta daripada saya jika dia mahu membeli kuih tart. Pasti mama punya wang yang cukup untuk membelinya, jika tidak duit mama sendiri, pastilah duit yang diberi ayah atau kakak-kakak yang lain, tetapi sebolehnya saya mahu punya taraf hidup yang baik, yang tidak membuatkan mama sedih dengan kesusahan hidup saya.
Sebagai seorang perempuan, biarpun belum menjadi seorang isteri dan ibu, saya sendiri melihatnya. Setiap ibu, bila mana dia mahukan anak-anaknya belajar dengan bersungguh-sungguh, supaya dapat kerja yang baik kelak, bukan kerana dia mahukan kesenangan wang ringgit daripada anaknya, tetapi kerana dia mahu anaknya tidak susah dan menderita. Apabila si anak tidak belajar dengan bersungguh-sungguh, tidak kerja bagus, maka si anak akan menderita. Menderita kerana tidak ada wang untuk membelikan bayinya susu, tiada duit mahu membeli beras, tiada wang untuk membawa bayi yang demam ke klinik, tiada duit untuk mengisi minyak motosikal. Bila si anak menderita, ibunya yang sudah tua akan turut menderita. Kerana ibu yang mengandung dan melahirkan. Darah yang mengalir dalam segenap urat nadi si anak adalah darah yang mengalir dalam diri si ibu. Bahagia anak, bahagialah ibu. Derita si anak, maka deritalah si ibu.
Memang wang bukan penjamin kebahagiaan, tetapi tanpa wang, kebanyakan masa dalam hidup akan jadi serba tidak kena.
Sudah lebih 6 tahun peristiwa itu berlalu.Sudah bersilih ganti penghujung ramadhan dan hari raya Adili Fitri yang saya lalui. Daripada seorang pelajar asasi, saya kini sudahpun bergelar seorang jurutera R&D. Tetapi kisah seorang emak dan kuih tart masih saya ingat. Saya doakan semoga si emak dan anaknya berbahagia. Anaknya (pakcik) tersebut juga sudah tidak bekerja mengutip sampah di taman perumahan yang keluarga saya duduki lagi. Mungkin sudah mendapat pekerjaan yang lebih baik.
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Luqman, 14)

Wednesday 14 October 2009

Apabila menjadi wanita...

Menjadi wanita :

1. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 orang wali.

2. Seorang wanita solehah adalah lebih baik daripada 70 lelaki soleh.

3. Seorang wanita yang jahat adalah lebih buruk daripada 1,000 lelaki yang jahat.

4. 2 rakaat solat dari wanita yang hamil adalah lebih baik daripada 80 rakaat solat wanita yang tidak hamil.

5. Wanita yang memberi minum susu kepada anaknya daripada badannya (susu badan) akan dapat satu pahala daripada tiap-tiap titik susu yang diberikannya.

6. Wanita yang melayan dengan baik suami yang pulang ke rumah di dalam keadaan letih akan mendapat pahala jihad.

7. Wanita yang habiskan malamnya dengan tidur yang tidak selesa kerana menjaga anaknya yang sakit akan mendapat pahala seperti membebaskan 20 orang hamba.

8. Wanita yang melihat suaminya dengan kasih sayang dan suami yang melihat isterinya dengan kasih sayang akan dipandang Allah dengan penuh rahmat.

9. Wanita yang menyebabkan suaminya keluar dan berjuang ke jalan Allah dan kemudian menjaga adab rumahtangganya akan masuk syurga 500 tahun lebih awal daripada suaminya, akan menjadi ketua 70,000 malaikat dan bidadari dan wanita itu akan dimandikan di dalam syurga, dan menunggu suaminya dengan menunggang kuda yang dibuat daripada yakut.

10. Wanita yang tidak cukup tidur pada malam hari kerana menjaga anak yang sakit akan diampunkan oleh Allah akan seluruh dosanya dan bila dia hiburkan hati anaknya Allah memberi 12 tahun pahala ibadat.

11. Wanita yang memerah susu binatang dengan "bismillah" akan didoakan oleh binatang itu dengan doa keberkatan.

12. Wanita yang menguli tepung gandum dengan "bismillah", Allah akan berkatkan rezekinya.

13. Wanita yang menyapu lantai dengan berzikir akan mendapat pahala seperti meyapu lantai di baitullah.

14. Wanita yang menjaga solat, puasa dan taat pada suami, Allah akan mengizinkannya untuk memasuki syurga dari mana-mana pintu yang dia suka.

15. Wanita yang hamil akan dapat pahala berpuasa pada siang hari.

16 Wanita yang hamil akan dapat pahala beribadat pada malam hari.

17. Wanita yang bersalin akan mendapat pahala 70 tahun solat dan puasa dan setiap kesakitan pada satu uratnya Allah mengurniakan satu pahala haji.

18. Sekiranya wanita mati dalam masa 40 hari selepas bersalin, dia akan dikira sebagai mati syahid.

19. Jika wanita melayan suami tanpa khianat akan mendapat pahala 12 tahun solat.

20. Jika wanita menyusui anaknya sampai cukup tempoh (2 1/2 tahun), maka malaikat-malaikat di langit akan khabarkan berita bahawa syurga wajib baginya.

21. Jika wanita memberi susu badannya kepada anaknya yang menangis, Allah akan memberi pahala satu tahun solat dan puasa.

22. Jika wanita memicit suami tanpa disuruh akan mendapat pahala 7 tola emas dan jika wanita memicit suami bila disuruh akan mendapat pahala tola perak.

23. Wanita yang meninggal dunia dengan keredhaan suaminya akan memasuki syurga.

24. Jika suami mengajarkan isterinya satu masalah akan mendapat pahala 80 tahun ibadat.

25. Semua orang akan dipanggil untuk melihat wajah Allah di akhirat, tetapi Allah akan datang sendiri kepada wanita yang memelihara auratnya.
Kum mar'atan salihan...Insya Allah.

Tuesday 13 October 2009

Kak Farah berdoa semoga...

Pada satu malam, saya, Kak Long, Kak Ngah dan adik Ati serta Ika berkumpul di dapur. Saya ambil sepaket biskut dan mencicahnya ke dalam secawan air milo yang masih panas. Sambil makan biskut yang mencair di dalam air milo tersebut, kami bercerita tentang jamuan hari raya yang jiran belakang rumah kami, Makcik Nur adakan pada hari yang sama. Saya telahpun menghadirinya pada siang hari tersebut. Macam-macam makanan yang dihidangkan. Ada lemang, sate, soto, nasi impit, banyak lagi. Sambil memuji-muji keenakan makanan yang dihidangkan, kami semua tertelan liur apabila mengingati juadah-juadah istimewa pagi raya yang sangat menyelerakan. Kemudian saya berkata kepada Kak Long, Kak Ngah, Ati dan Ika, " Kak Farah berdoa semoga sekejap lagi Makcik Nur datang ke rumah kita, hantar soto lebih open house dia tu". Sambil saya buat-buat muka kesian, tanda saya sangat lapar. Tak sampai seminit selepas saya mengucapkan kata-kata tersebut, terdengar suara seorang wanita memberi salam di pintu dapur. Rupa-rupanya Makcik Nur yang datang. Hehe... Makcik Nur datang hantar soto, lemang, rendang dan sate. Maka tercapailah hasrat saya nak makan soto lebih open house rumah Makcik Nur yang memang famous dan sangat sedap itu.
Sekian terima kasih.
juadah pagi raya menjadi ingatan tika di perantauan :)

Segalanya Milik-Mu

Kau yang menciptakan cinta
Dan kau jua yang menghampar bahagia
Di ribaan-Mu terhimpun harapan
Impian tulus setiap insan

Kau yang mengutuskan duka
Dan Engkaulah yang mengirimkan hampa
Namun pada-Mu jua diadukan
Merebahkan keresahan dan tangisan

Aku tahu inilah kasih-Mu
Aku tahu inilah cinta-Mu
Dan ku tahu tiap yang terbaik untukku
Tak semuanya yang kumahu

Di celah hangat nafas yang terhela
Ada dingin saat menyeru nama-Mu
Terarah segala ronta rasa
Pada damainya dakapan-Mu

Aku tahu inilah kasih-mu
Aku tahu inilah cinta-Mu
Dan kutahu di segenap ruang rasaku
Telah Kau titipkan kekuatan
oh Tuhan

Calling for answering Ehcan's tag

Hari ni saya nak jawab tag yang diberi oleh Ehcan beberapa bulan lepas. Belum expired lagi ok.

Your name
: Norfarahdina Binti Abdul Ghafar
Age
: almost 23
Work
: loitering in this blog
Last call from
: Overseas postgraduate department of mohe
Currently
: watching The Nanny
She is
: who? Fran? Nanny lah...
1st song you like?
: Wake up call
1st actor you like
: Jackie Chan
1st artist you like
: Ramli Sarip
1st movie?
: Syinjuku incident
1st teacher you like?
: Cikgu Nazari (hehe)
1st pet
: A pair of tortoise called Dora and Fifi
1st shoes bought using you own money, from
: Bata as I remembered
You are trade marked as
: pelik betul and budak kecik
Song that make you cry
: Ayah dan ibu by Sudirman Haji Arsyad
Movie that make you cry?
: )))
malas dah nak jawab..
Ehcan sorry...
panjang sangat
nanti aku sambung lagi...

Monday 12 October 2009

(title unknown)

Marah sudah hilang
Wahai hati mari bertenang

Sunday 11 October 2009

Let me emphasize it


I think, it takes quite a long time since I didn't write anything in English on this wall. Why? Practising to be a good Malaysian, perhaps.

And after a letter from Ministry of Higher Education asking me to go for my PhD BTN in Ulu Sepri, Rembau, NS last few weeks, then sooner I realised it actually no point of having a force of patriotism this way.

A gold silly question, could BTN ever changed and train the adult overseas Master or PhD students to be, in order neutralise them to be government supporter? Obviously it turns to the answer, NO!

Because almost the whole overseas Master and PhD students to be had earlier decided what kind of political supporter they are, of course on their years of bachelor degree at the university. It takes years. A long term of an important part of life (20-25 years old-darah muda). So how a 5-6 days programme of BTN can change their mind and political ethics?It's quite pathetic!

It is different of asking a group of freshly SPM graduated overseas bachelor degree students to be, to go for BTN. They are around the age of 17-19 years old, still greening in the political experience. Obviously they would say they'll never betray!

Most of the Master and PhD students to be are around the age of 24-27 something or even older, except for me who doing master on the age of 21! But still BTN did not change my mind. Neither neutral, opposing or supporting. It is nothing. I went back to my home, answering my father question, what you got from your BTN? with nothing. It was just a wasting of 'duit rakyat' je.

The students when off, and still doing the same thing. Supporting something else then the government. Who can change them? Obviously not the BTN!

Most of today young folks were born not to be a good government supporter. Only a little of them are still grabbing the aspiration of Wawasan 2020-or else Islam Hadhari-or else yang 1 tu!!!Only a little. Please take not. A little. So little.

I am not intending of showing any 'muyul' to any political organization, but it is just emphasizing the reality. But for sure, I am not a good political viewer. And not interested in any kind of political activities, even the Pilihan Raya Umum. I really not interested and never register for being a voter.

Sekularkah saya?

Saya termenung panjang tadi setelah menerima e-mel daripada seorang bloger yang kebetulan terjumpa blog saya ini semasa melayari internet. Saya yakin bloger berusia 21 tahun itu secara tidak sengaja terjumpa blog ini memandangkan saya tidak pernah mengiklankan blog saya ini di mana-mana pun. Bahkan mengajak orang berziarah ke blog saya melalui pemberian link di shoutbox bloger lain juga tidak pernah saya lakukan. Tutup cerita pasal pengiklanan blog ini.

Kisahnya saya terkejut dengan pertanyaan bloger berusia 21 tahun yang dakwanya sedang menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir. Pertanyaannya berbunyi seperti ini, "Ukhti tidak rasakan ukhti sekularkah? Sanggup meninggalkan bidang tahfiz untuk bergelar jurutera. Lebih-lebih lagi bekerja dengan syarikat British yang nyata adalah sekutu paling kuat Amerika Syarikat".

Jawapan saya, masih di dalam hati, tidak saya luahkan melalui e-mel. Risau jawapan saya lebih berbaur amarah berbanding menyatakan pendirian. Memang. Saya akui. Ikutkan hati, siapa yang tidak marah diterjah (pada saya lebih tepat lagi perkataan dituduh) dengan soalan yang lebih kepada anggapan bahawa saya ini adalah seorang yang sekular.

Saya terasa seperti perkataan itu terngiang-ngiang di telinga, SEKULARKAH SAYA?

Apa dosa saya menjadi seorang jurutera wahai Azhari berusia 21 tahun. Saya tidak minta anda membaca blog saya. Saya sedar blog ini tidaklah sehebat blog rakan-rakan anda. Sekadar tempat saya meluah rasa dan berkongsi pandangan. Sesiapa yang terjumpa blog ini, terbaca, langsung berasa mual, nak muntah nak pengsan, atau meluat, maka tolonglah tutup sahaja. Bukan susah. Gerakkan cursor, pergi pada tanda pangkah di bahagian atas. Tutup. Senang. Saya tidak minta anda follow blog saya. Sebab itu saya tidak letak shoutbox atau access follower.

Namun saya berterima kasih kepada beberapa sahabat bloger yang sudi memberi komen dan bertukar pendapat. Sudi berkongsi pandangan dan memberi perhatian dan berkongsi ilmu bersama. Saya sedar ilmu saya tidak sehebat ilmu anda wahai Azhari berusia 21 tahun. Saya minta maaf andai kehadiran bukansyadid ini dalam arena per'blog'an menyemakkan pandangan mata anda. Saya minta maaf banyak-banyak.

Tapi, saya ada sedikit soalan buat saudara, Azhari berusia 21 tahun.

i) Jika suatu hari ditakdirkan saudara mahu membina masjid dan universiti islam, adakah saudara mahu masjid dan universiti islam saudara dirancang, dan direka oleh jurutera dan arkitek kafir sedangkan ramai jurutera muslim lain boleh melakukannya?

ii)Jika suatu hari saudara menjadi menteri yang menguruskan ehwal kepenggunaan, import dan eksport, mahukah saudara terus terpaksa mengimport barangan kepenggunaan dari sekecil-kecil sabun dan ubat-ubatan sehingga ke teknologi besar seperti reaktor janakuasa dan petroleum kerana negara saudara tidak punya tenaga pakar dalam bidang teknologi dan pembuatan?

iii) Jika saudara mahu dibedah, dan ada dua pilihan doktor, yang pertama seorang kafir yang sudah pasti tidak membaca basmalah pun sewaktu memulakan pembedahan dan seorang lagi seorang doktor muslim yang hafaz Al Quran, yang mana satu saudara pilih?

Saya bermaksud, biarpun memilih untuk bekerja dalam profesion yang berlandaskan sains dan teknologi, seperti kejuruteraan dan perubatan, namun sebagai muslim, agama Islam tetap menjadi tunjang utama.

Biarpun saya memilih untuk bekerja sebagai jurutera namun pendidikan tahfiz Al Quran yang sudah saya ceburi sejak berusia 4 tahun lagi tidak pernah saya tinggalkan dan saya biarkan sepi.

Adakah saya boleh dituduh sebagai sekular hanya kerana saya memilih untuk menjadi seorang jurutera di British Petroleum? Saya tidak tahu penilaian orang terhadap saya.

Namun bagi saya semua orang mampu memberi sumbangan dengan caranya yang tersendiri. Biarpun orang jahil seperti saya yang tidak melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD dalam bidang agama, sebaliknya memilih kejuruteraan.

Tetapi dalam masyarakat itu, tidak semua orang berbakat dalam segala bidang.

Apa kata jika kita saling melengkapi dengan kelebihan bidang ilmu yang kita miliki.

Para doktor membantu masyarakat supaya menjadi masyarakat yang sihat, agar bila badan sihat dapat beribadah dengan baik.

Para jurutera membantu dalam pembangunan teknologi dan kemahiran. Supaya umat Islam akan memiliki teknologi dan kelengkapannya yang tersendiri dan mengurangkan kebergantungan pada teknologi kuffar.

Para Azhari dan agamawan lainnya membantu menyelesaikan masalah ummah, hukum hakam, akhlak, menyeru manusia supaya menjadi hamba Allah yang baik. Mengajar manusia bagaimana untuk beribadat dengan betul dan menyelesaikan permasalahan ummah berlandaskan syariat.

Para guru mendidik anak bangsa menjadi bangsa yang berilmu dan berwawasan supaya tidak diinjak-injak oleh orang-orang kafir.

Dan lain-lainnya.

Menjadi jurutera tidak sesekali bermaksud saya meninggalkan terus bidang tahfiz yang pernah saya berusaha keras untuk mencapai matlamat menghafaz 30 juzuk Al Quran. Tidak sekali-kali.

Namun saudara Azhari berusia 21 tahun, anda lebih berhak menilai. Katakan apa sahaja. Terpulanglah. Marah saya sudah reda. Semoga selepas ini tiada duri lagi daripada sudut hati saya untuk saudara.

Saturday 10 October 2009

Sesekali diuji


apa jua bala bencana singgah menerpa

menguji jauh mananya sabar kita

mungkin selama ini kita terlupa


kita terlalu leka dengan nikmat kurniaan-Nya

maka diberi sedikit ujian

menguji tahap keimanan di jiwa


bila kesusahan terasa hidup terlalu payah

pelbagai persoalan menerjah

baru minta petunjuk hidayah


usah berputus asa

kerana ada rahmat di sebaliknya

yang tidak kita ketahui

dalam hidup ini teruslah berdoa

pada Allah

pengasih pemurah dan penyayang

11.57 pm - Saya dah edit yang ini. Sebab saya takut jadi pemfitnah

bukansyadid akan mula beroperasi semula dari Dubai, UAE.

Atas permintaan supaya mengulas tentang isu terbaru berkaitan purdah yang sedang hangat kini, MAAF! Saya tidak dapat mengulasnya. Saya bukan pelajar Al Azhar.
Setakat ini majikan saya iaitu British Petroleum memberi lampu hijau untuk saya bekerja dengan bebas, menjalankan tugas dengan penuh etika sebagai seorang jurutera R&D,biarpun berjubah, bertudung labuh sertaberpurdah. Jadi saya sangat bersyukur tentang itu.

11.57 malam - *Saya edit sedikit tulisan ini atas arahan ayahanda tercinta. Bimbang penulisan saya disalahertikan oleh ramai orang. Maklumlah, saya ini jahil, kurang ilmunya, dan masih banyak lagi ketempangan yang perlu diperbaiki.

Sedikit dari ulasan bakal suami saya meminta saya bersabar, siasat dahulu dan tidak melatah berkenaan isu pengharaman purdah ini. Akhirnya saya yang malu sendiri. Tetapi sekurang-kurangnya saya sudah tahu duduk perkara sebenar. Alhamdulillah.

*saya baru tersedar yang saya hanya membaca berkaitan isu purdah dan Syeikh Sayyid Muhammad Tantawi yang digembar-gemburkan di dalam surat khabar di Malaysia. Entah betul entah tidak dakwaan itu. Tetapi saya terus percaya bulat-bulat.(inilah kesilapan saya)

Kata ayahanda saya : Itulah Kak Farah, cepat sangat melenting. Baru sikit tu. Ulama ni kalau nak bercakap mesti ada ilmunya, ada Al Quran, ada As Sunnah nya. Bukan main hentam je. Tapi bila sampai pada orang lain, ada pula anasir yang memutar belit fakta, mendefinisi secara salah. Akhirnya yang sampai di akhbar-akhbar picisan + sicipan, di Malaysia khasnya adalah berita palsu yang telah ditambah perisa fitnah.

(Saya malu, sangat malu)

Betapa dangkalnya seorang Farahdina ini bila cepat benar menghukum dan melatah apabila disuakan dengan berita kurang pasti berbaur fitnah itu sehingga beberapa jam selepas membacanya, saya sendiri terhanyut emosi,memandang rendah dan mencerca seorang ulama yang tinggi ilmunya. Astaghfirullahalazim. Semoga Allah mengampunkan dosa saya.

Untuk penjelasan lebih lanjut lagi, sila rujuk link-link yang diberikan oleh saudara Panglima Khalid di ruangan komen. Silalah. Sangat berguna. Sangat-sangat. Betul. Saya tak tipu. Serius ni.

Tolonglah baca link tersebut untuk manfaat bersama, semoga dapat menjadi renungan, dan menghentikan kita daripada terus berdosa. Lebih-lebih lagi kerana mempercayai fitnah, dan memfitnah seorang ulama yang tinggi ilmunya.

*Pengajaran kepada diri saya sendiri:

-Jangan cepat mempercayai berita-berita yang disampaikan oleh media yang tidak tahu hujung pangkalnya. Kerana memang sifat media, menggembar gembur berita yang tidak pasti, menambah perisa bagi sedap dan sensasi. Sehingga perisa fitnah dan bohong pun diadun sekali nak bagi laris produk. (tak percaya tengok Melodi!)

-Akhir zaman ini, memang ramai orang yang suka putar belit fakta, menambah auta. Ulama muktabar dihina dikeji, tapi artis dan hiburan melalaikan dipandang tinggi. Sudah banyak kali terbukti, media seperti surat khabar di negara ini adalah satu medium yang selalu mengaplikasikan prinsip ini.

Kepada wanita-wanita yang mungkin berasa 'teraniaya' itu, saya doakan semoga Allah menguatkan hati-hati kalian.

Thursday 8 October 2009

Ambil kamus, saya mahu berpesan.

Saya mahu berkisah tentang sesuatu yang pada saya agak penting untuk perhatian semua muslimin dan muslimat dalam arena per'blog'an ini.

Baru-baru ini saya log in ke akaun facebook. Sudah agak lama tidak melawat ke sana. Ada seseorang yang tidak saya kenali telah meng"add" saya. Jadi saya approvekan sahaja. Tidak ada apa-apa yang salah tentang ini, walaupun saya bukanlah orangnya yang suka add orang, tapi bila orang add saya, saya approvekan sahaja.

Tetapi yang mahu saya bicara sedikit adalah tentang sedikit updates dari profil pelajar tersebut yang berbunyi hampir begini, "(si fulan) has whipped bacon cheeseburger in cafe....".

Ini yang membuatkan saya terperanjat. Biar saya jelaskan, bacon cheeseburger adalah makanan yang berunsurkan babi dan haram dimakan. Bacon, mengikut kamus dwibahasa Oxford Fajar, muka surat 29 adalah daging babi yang telah diasinkan atau disalai.

Mungkin perkara ini kelihatan remeh sahaja, tetapi saya sebagai seorang muslim yang pernah tinggal, belajar dan bekerja di negara bukan Islam, makanan tidak halal seperti bacon cheeseburger ini dijual di merata-rata tempat dan menjadi suatu kepentingan untuk kita mengetahui nama makanan-makanan yang halal dimakan dan yang tidak halal semasa berkunjung ke negara-negara bukan Islam ini. Dikhuatiri jika kita tidak mengetahuinya, maka kita akan membeli dan termakan makanan yang tidak halal ini.

Jadi ada pentingnya membawa dan merujuk kamus ketika berjalan-jalan di luar negara. Begitu juga ketika bermain apa-apa aplikasi di dalam internet, facebook terutamanya. Pastikan anda faham apa yang anda pilih, apa yang anda mainkan. Kerana ada seseparuh aplikasi berorientasikan kepada hiburan yang bertujuan merendah-rendahkan Islam dan menghina penganut Islam. Jika anda tidak faham, sila rujuk kamus. Saya sendiri yang mempunyai kelulusan IELTS band 8.5 dan Delf 4 untuk bahasa Perancis pun masih lagi merujuk kamus ketika berurusan di negara-negara bukan Islam tersebut, dan juga ketika menggunakan internet.

Ini adalah sebagai pesanan kepada sesama muslim, agar tidak ada yang menyesal di kemudian hari. Terutamanya saya, menyesal kerana tidak memberi perhatian kepada perkara sekecil ini yang berlaku dalam kehidupan seharian insan muslim di sekeliling saya.
Untuk perhatian kepada sesama saudara seperti mana yang terkandung di dalam Al Quran.

(1)Demi Masa!
(2)Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
(3)Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
(Al-Asr', 1-3)

Mari sama-sama bertindak agar tidak menjadi manusia yang rugi.

Friday 2 October 2009

This is quite a rambling

(Najwa belajar pakai tudung.)
Ini adalah sesi merepek pertama sejak beberapa post yang agak serius kebelakangan ini.

Kebelakangan ini saya selalu suka merungut sorang diri, bercakap sendiri. Banyak perkara yang mencuri masa lapang + masa rehat saya.

Antaranya, passport yang saya tertinggalkan di Terengganu. Bila passport tu saya dapat semula, baru teringat, muka suratnya dah habis. Jadi saya terpaksa ke pejabat imigresen menyiapkan passport baru. Dalam pada tu teringat passport lama saya, yang saya buat pada tahun 2002, sebelum menyambung pengajian di Universiti Zamalek, Mesir. Passport yang tamat tempoh pada tahun 2007 dengan hanya 3 muka surat bercop visa. Visa pertama ke Mesir pada 2002, visa kedua ke Switzerland pada 2005 dan visa ketiga ke Turki pada 2005 juga. Sangat sayang dan suatu pembaziran, sehingga tamat tempoh sah, passport itu masih kelihatan baru. Tetapi sejak bekerja, saya terpaksa merantau ke hampir seluruh dunia, di serata benua. Lupa, semasa menjadi penuntut sarjana juga, selain ke UK saya telah ke Belgium dan Perancis. Sehingga passport saya kehabisan muka surat dalam tempoh hanya 2 tahun. Betapa bila saya fikirkan kembali, banyaknya duit yang telah terhabis hanya untuk tiket kapal terbang. Ke UK, Perancis, South Africa, Jepun, Filipina, Indonesia, Norway, Turki---dan negara-negara lain yang cop visa dan pas lawatannya telah menyebabkan kesesakan ke atas passport saya. Bayangkan jika purata kadar tiket kapal terbang adalah >RM2000 X bil. negara yang saya pergi atas sebab kerja, yang jumlahnya >25=???. Sangat banyak ribuan ringgit. Nasib baik BP dan Petronas yang bayar. Kalau saya bayar sendiri, umur 60 tahun pun belum tentu saya pergi.

Kisah kedua berkaitan kepulangan ke Dubai. Ayah sudah merungut, saya kelihatannya seperti sudah tidak mahu pulang. Sangat malas untuk saya mengemas barang untuk pulang ke Dubai. Ditambah dengan memikirkan saya hanya akan pulang ke Dubai sekitar seminggu untuk berkemas-kemas, mengosongkan rumah sebelum berangkat ke UK. Kerana saya ditukarkan ke ibu pejabat BP di UK, berkuatkuasa November ini. Sangat sayang rasanya mahu meninggalkan apartment yang telah saya hias cantik kerana merancang menyambut 'orang baru'.

Awal pagi tadi, sekitar jam 2 pagi, anak buah saya, Najwa Ar-Rumaisaa' selamat tiba di rumah, bersama mama dan papanya. Pagi-pagi lagi sudah kecoh serumah, adik-adik yang bangun untuk ke sekolah menjerit-jerit melihat si kecil Najwa sudah balik dari rumah nenek sebelah papanya di Kulim, Kedah. Semasa Najwa tiba malam tadi, Paksu, Mak Andak dan Makchik sudah nyenyak tidur belaka. Najwa pula tersengih-sengih sambil menarik beg kecilnya. Mahu ke sekolah juga!

Tugas rutin saya sejak pulang ke Malaysia, menghantar adik bongsu, Danial ke sekolah. Kesian pula tengok Najwa yang menangis di muka pintu, mahu ikut saya menghantar Paksunya ke sekolah, lalu saya dukung si kecil itu bawa ke dalam kereta. Terlupa bahawa makcik seorang ini sudah pandai berjalan, jadi saya langsung tidak teringat untuk membawa kasutnya. Selesai menghantar Danial ke Sri Pintar, saya terus memandu ke warung menjual makanan, mahu beli makanan sarapan.Saya buka pintu kereta sebelah pemandu, menyua tangan mahu mendukung Najwa, pandai betul si kecil ni menggeleng-geleng mahu berjalan sendiri. Disebabkan terlupa membawa kasutnya, saya mengabaikan gelengan manja Najwa, terus mendukung. Dan memang menjadi rezeki saya pagi tadi, mungkin kerana marah sebab saya tidak mengizinkan dia berjalan, maka Najwa menghadiahkan saya satu gigitan kuat dengan menggunakan gigi susunya yang baru tumbuh 6 batang itu. Maka berbekaslah gigitan Najwa pada lengan saya yang menjadi satu memorial khas buat saya. Sakitnya, walaupun hanya ada 6 batang gigi!

Dalam perjalanan pulang, satu lagi kejadian ngeri berulang. Najwa mencampakkan kunci rumah yang saya berikan kepadanya sebagai peralit sementara saya memandu, keluar daripada kereta. Mujurnya tingkap di sebelah pemandu hanya terbuka kecil, hanya semuat tangan kanak-kanak. Jika tidak pasti Najwa akan melompat keluar sekali (nasib baik bukan kamu yang melompat Najwa oi, kalau tidak tidur lokap Aunty Farah malam ni).

Ini pula satu lagi perkara yang mengganggu kelapangan jiwa saya sejak kebelakangan ini. Tentang sijil original SPM saya yang sudah 7 tahun tidak saya tuntut. Sebelum-sebelum ini, jika berurusan, termasuk untuk pengajian peringkat asasi di UM, degree di UKM dan master di Queen's, saya hanya menggunakan sijil sementara yang LPM keluarkan. Entah mengapa untuk urusan biasiswa phd, slip sementara itu sudah tidak lagi diterima. Untuk mengambilnya pun agak bermasalah, sebab itu saya tidak pernah menuntutnya biarpun mendapat 11A1 dan 1A2. Bila saya telefon ke KISAS, keraninya menyuruh saya ambil di ABS. Bila telefon ABS, orang di ABS suruh tunggu dahulu. Mereka akan carikan. Hanya selepas 3 hari barulah ada orang hubungi, memberitahu sijil saya ada di ABS. Inilah nasib saya, seorang bekas calon persendirian yang menumpang!

Banyak lagi sebenarnya yang mahu saya rungutkan. Tapi ini sahaja yang boleh dikongsi dalam bukansyadid ini. Bukan apa, saya kesian pada wall bukansyadid ini, terpaksa menadah sahaja apabila saya menconteng benda-benda merepek pada tubuh dia yang masih mentah ini.

Lagi satu, apa sahaja yang dirungutkan, semuanya sudah Allah sediakan untuk kita. Dia tidak akan menguji dengan bebanan yang tidak larat untuk dipikul. Maka ikhlas dan redhalah dalam menempuh ujian yang bertandang dalam kehidupan.