Friday 11 September 2009

Kerana dirimu begitu berharga

Petang tadi sewaktu berjalan kaki untuk pulang ke rumah, saya terserempak dengan satu kemalangan ngeri. Mangsa ditinggalkan di tengah jalan tanpa ada sesiapa yang peduli. Biasanya saya sangat takut dengan mangsa, tetapi memandangkan rasa ingin tahu yang menebal, saya berjalan merapati lokasi kemalangan. Kepalanya hancur digilis. Darah menyembur di mana-mana. Saya dapati mangsa telahpun mati. Mati di tempat kejadian, dan lebih teruk lagi dalam kemalangan langgar lari. Maka hari itu satu nyawa yang tidak berdosa telah menemui penghujungnya. Seekor tikus gelandangan menemui ajalnya dalam satu kemalangan ngeri. Saya mendongak ke langit, hujan turun rintik-rintik. Maka saya mempercepatkan langkah menuju ke rumah. Mangsa kemalangan ngeri yang sudah tidak bernyawa itu saya tinggalkan sendirian di atas jalan tar.

Bukan ini persoalan sebenar. Bagi kita, termasuk saya, kematian seekor tikus mungkin remeh temeh sahaja. Tidak ada apa yang perlu dihiraukan.

Tetapi bagaimana dengan nyawa seorang manusia?

Aidil Fitri sudah semakin hampir, pesta balik kampung juga semakin meriah. Tiket bas di Hentian Putra untuk perjalanan ke Kelantan dan Terengganu sudah hampir habis terjual. Belum dikira bas-bas tambahan juga keretapi Sinaran Bulan. Begitu juga tiket ke utara. Sejak beberapa minggu lalu Hentian Duta dan Hentian Puduraya penuh sesak dengan jutaan umat manusia yang mahu membeli tiket bas. Adat orang Melayu kita, Aidil Fitri wajib pulang, raya haji pulang lagi, cina raya, Melayu pun raya,tak balik kampung terasa rugi. Tetapi dalam kesibukan kita untuk meraikan lebaran bersama keluarga, berapa keratkah yang menginsafi, saban tahun setiap kali Aidil Fitri, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya semakin meningkat. Walaupun pelbagai jenis Ops dilancarkan, namun sebenarnya semakin dihitung, semakin dibanci, jumlah yang terkorban itu semakin menjadi-jadi.

Berapa ramaikah daripada kita yang dapat menahan hiba saat melihat banyaknya nyawa yang melayang dalam kemalangan ngeri menjelang cuti perayaan Aidil Fitri. Bayangkan sewaktu memandu untuk pulang berhari raya di kampung, jalan yang lurus Kuantan-Kemaman menjadi sesak. Tidak tahu apa puncanya jalan yang selalu tidak sibuk tiba-tiba sesesak itu. Setelah memandu dalam keadaan trafik yang perlahan selama setengah jam, barulah tahu apa puncanya. Melihat tubuh-tubuh yang sudah ditutup dengan helaian surat khabar, dan bomba yang sedang berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kereta yang remuk, maka dapat disahkan bahawa ianya adalah sebuah kemalangan. Hati mana yang tidak pilu melihat tubuh yang bergelimpangan, tubuh manusia. Walaupun tidak mengenali mangsanya, tetapi pasti akan terlintas di dalam hati, sakit sungguh mati dalam keadaan sebegitu. Punca yang selalunya dibangkitkan adalah kecuaian pemandu, memandu terlalu laju, tergopoh gapah memotong double line dan banyak lagi.

Benar ajal maut itu kuasa Allah. Tetapi insaflah, bahawa kita sebolehnya tidak mahu mati dalam keadaan sebegitu. Beringatlah ketika memandu. Jangan memandu terlalu laju. Bacalah doa sebelum menaiki kenderaan.Jangan terlalu bersuka-suka, orang tua-tua selalu mengingatkan, suka-suka nanti jadi duka. Ingatan ini, biarpun dituturkan oleh nenek kita yang tidak pernah bersekolah, namun ada realistiknya. Hati yang terlalu bersuka ria, mudah menjadi lalai dan alpa. Apabila lalai dan alpa, maka mudah sahaja syaitan akan masuk, dan membisikkan kata-kata jahat seperti, "Ah, lambat betul kereta depan ni, buang masa aku je. Potong ajelah double line pun". Ataupun " Bawak kereta macam kura-kura, lajulah sikit". Lalu kita akan memandu kereta dalam keadaan laju, kerana diri sendiri sudah dipandu oleh hasutan-hasutan jahat syaitan, dan secara drastik melanggar peraturan, juga tidak menghiraukan keselamatan diri sendiri, isteri, anak-anak yang dibawa, dan jika anda seorang pemandu bas, keselamatan para penumpang. Akhirnya bila kemalangan sudah terjadi, yang tinggal hanya penyesalan. Itupun jika masih sempat untuk menyesal. Jika tidak...(sukar dihabiskan, lu pikirlah sendiri)

Ingatlah, memandu laju adalah merbahaya. Membahayakan keselamatan diri sendiri dan orang lain adalah sesuatu yang zalim. Dan Allah tidak suka kepada perbuatan zalim menzalimi ini.

Jangan jadikan penantian keluarga tersayang berakhir dengan tangisan. Sama-samalah saling ingat mengingatkan.Isteri ingatkan suami, jangan memandu laju, berhenti rehat untuk menghilangkan letih dan mengantuk. Kawan-kawan yang selalu balik raya berkonvoi, beramai-ramai, salinglah ingat-mengingatkan. Para penumpang dan pemandu kedua bas ekspres, silalah memberi peringatan kepada pemandu pertama. Pemandu pertama pula memberi ingatan kepada yang kedua bila tiba gilirannya.

Malang tidak berbau.

Berdoalah semoga Allah merahmati perjalanan kita, dan memberi perlindungan, semoga selamat pergi, selamat kembali.

*saya pernah kehilangan seorang rakan sekelas dalam tragedi kemalangan bas di Merapoh, Aidil Fitri beberapa tahun lalu dan sehingga kini masih terkesan dengan peristiwa itu. Alfatihah untuk arwah.

Hargai nyawa anda.

Kerana dirimu begitu berharga.

Sekian dahulu, sedikit omelan daripada saya.