Friday 28 August 2009

Ramadhan dan perjuangan

Saya belum sempat menulis apa-apa di sini tentang Ramadhan. Tapi saya percaya ramai sahabat-sahabat lain sudah menulis mengenainya. Memandangkan Ramadhan ini adalah bulan yang sangat berkah, sejak kecil hingga dewasa saya sudah mendengar pelbagai cerita benar tentang kelebihannya.
E-mel seorang rakan baru-baru ini menyedarkan saya. Ada orang yang sedang bermujahadah ketika ini, di waktu saya dalam mode beristirehat di bumi Malaysia. Rakan-rakan di UK meminta doa semoga dipermudahkan urusan mereka menjelang dateline tesis sarjana pertengahan dan penghujung Ramadhan ini.
Saya mendoakan semoga Allah memberi mereka kejayaan.
Seharusnya mereka, orang-orang yang berjuang dalam keadaan berpuasa, bergembira, bahkan lebih gembira lagi daripada orang yang tidak berpuasa.
Ingatkah lagi kita kepada perang Badar yang berlangsung ketika Ramadhan. Dengan tentera Islam yang berjumlah hanya 313 orang berbalas tentera kuffar yang jauh lebih ramai jumlahnya. Tetapi dengan pertolongan Allah, juga semangat juang yang ikhlas, dengan sebenar-benar ikhlas akhirnya kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Jadi bagaimana yang dikatakan berpuasa itu sehingga lemah badan dan tidak dapat berjuang? Lihat sahaja pasukan Islam di medan Badar dahulu. Sanggup berkorban dalam keadaan berpuasa kerana Tuhan.
وَمَا جَعَلَهُ اللّهُ إِلاَّ بُشْرَى لَكُمْ وَلِتَطْمَئِنَّ قُلُوبُكُم بِهِ وَمَا النَّصْرُ إِلاَّ مِنْ عِندِ اللّهِ الْعَزِيزِ الْحَكِيمِ
Dan Allah tidak menjadikan bantuan itu melainkan sebagai berita gembira kepada kamu dan supaya hati kamu menjadi tenteram dengannya dan tidak ada kemenangan melainkan daripada Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.
Al-Imran: 126
Allah pasti menjanjikan berita gembira dan kejayaan kepada hamba-Nya yang ikhlas dalam perjuangan. Lebihlah lagi berjuang dalam bulan Ramadhan ini.
Ramadhan dinilai bukan sebagai bebanan, bahkan sebagai satu nikmat daripada Allah. Kerana itu Dia menjanjikan pelbagai keistimewaan dan kemudahan serta hikmah di dalam bulan mulia ini. Allah menjanjikan doa mereka yang berpuasa itu mustajab sehingga mereka berbuka. Maka, berpuasa, lalu berdoa, mudah-mudahan doa itu diterima dan dimakbulkan oleh-Nya.
Juga saya mendoakan kepada seluruh umat Islam yang lainnya, moga kita memasuki Ramadhan dengan hati yang insaf, dan keluar daripadanya dengan diri yang jauh lebih bertakwa.
Para pejuang Ramadhan rebutlah hikmah berjuang dalam bulan mulia ini. Ada rahmat, ada maghfirah, ada waktu yang dimakbulkan doanya. Rebutlah kesempatan ini. Teguklah semangat sehebat para mujahid di medan Badar. Sisiplah pedang kehebatan ramadhan, teruskan melangkah dalam medan juang bulan seribu bulan. Sesungguhnya bagi orang yang ikhlas berjuang kerana Allah itu ada ganjaran.