Monday 28 September 2009

Mari berfikir, lalu bersederhana

Beberapa hari lalu saya pulang ke kampung mama di Temerloh. Singgah di rumah lama arwah wan dan aki, kemudian melalui hadapan sekolah agama Al Wosto. Ada kedai runcit milik saudara saya yang diusahakan secara kecil-kecilan di tepi bendang tinggal berhampiran tanah perkuburan. Di sebelahnya ada sebuah warung kopi yang pengusahanya sangat bagus saya kira, baru tiga hari berhari raya sudah kembali berniaga.

Ayah singgah sebentar untuk membeli air milo, kerana cucu kesayangannya sudah mulai menangis rimas dan haus. Selesai berurusan ayah kembali ke kereta, terus memandu sambil bercerita. Katanya warung kopi sangat meriah, cerita politik bermacam-macam ragam. Raya-raya juga, kisah politik tetap diteruskan.

Itu kisahnya. Saya bukan seorang pemerhati politik yang bagus, dan saya tidak berminat dengan politik, juga tidak pernah berkesempatan mengundi.

Tapi secara peribadi, saya sangat tidak suka bila ada orang suka melabel dan menuduh-nuduh. Apatah lagi tuduhan melulu yang tidak bagus dan tidak sedap didengar.

Apa kata ambil kesempatan sempena Aidil Fitri ini, kembali kepada fitrah kita sebagai insan. Fitrah kita yang lahirnya dahulu dari rahim ibu, sangat suci dan murni kejadiannya.

Apa kata kita saling bermaafan sesama manusia dan memohon keampunan daripada Allah.

Untuk beberapa saat mari bermuhasabah banyak mana dosa yang telah kita lakukan secara sedar ataupun tidak kerana ketaksuban kita pada ideologi politik. Contohnya melabelkan pemimpin parti ini begitu begini, orang ini rasuah ini, orang itu membeli undi, orang ini sudah nyanyuk, orang itu tidak mampu membawa kemajuan---sangat banyak lagi.

Untuk beberapa saat ini, marilah melupakan ideologi politik kita, bersatu atas nama saudara seagama. Banyak yang harus dan perlu disumbangkan untuk manfaat ummah, bukan sekadar bergaduh bercakar di pentas politik, mencarut-carut mencari salah kerajaan dan pembangkang.

Banyak yang ingin diingatkan perihal ini.

Antaranya:

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱجۡتَنِبُواْ كَثِيرً۬ا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعۡضَ ٱلظَّنِّ إِثۡمٌ۬‌ۖ وَلَا تَجَسَّسُواْ وَلَا يَغۡتَب بَّعۡضُكُم بَعۡضًا‌ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُڪُمۡ أَن يَأۡڪُلَ لَحۡمَ أَخِيهِ مَيۡتً۬ا فَكَرِهۡتُمُوهُ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌ۬ رَّحِيمٌ۬ (١٢

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

Al Hujurat-12

Mari berfikir sebagai seorang Islam yang sudah dewasa. Tidak perlulah bertekak bertegang urat bertinggi suara untuk menentukan siapa salah siapa benar siapa yang paling disayangi rakyat. Kita semua manusia. Di sisi Allah sama sahaja.
وَٱقۡصِدۡ فِى مَشۡيِكَ وَٱغۡضُضۡ مِن صَوۡتِكَ‌ۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلۡأَصۡوَٲتِ لَصَوۡتُ ٱلۡحَمِيرِ (١٩

“Dan sederhanakanlah langkahmu semasa berjalan, juga rendahkanlah suaramu (semasa berkata-kata), sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai”.

Luqman-19

Juga mari kita beringat tentang ini,

Mati itu pasti. Datangnya juga tidak dapat diduga. Siapa sangka mungkin ada antara kita yang hayatnya hanya tinggal sehela nafas daripada waktu dia membaca post ini.

Siapa dapat menjangka dia akan rebah terkena serangan jantung di kedai kopi sewaktu sedang asyik, berapi-api mengutuk lawan politiknya (siapa tahu?Itu semua kuasa Allah). Mungkin ada antara kutukan-kutukannya itu bersifat fitnah semata-mata. Lalu Izrael datang mengambil nyawa, dan dia tidak sempat menyesal dan bertaubat atas dosa memfitnahnya itu.Siapa tahu?

Oleh itu marilah kita bermuhasabah, sejauh mana minat dan ideologi politik kita masih berada pada niat dan landasan untuk membantu ummah, membuka jalan mardhatillah. Bukan atas dasar nafsu semata, apatah lagi atas dasar-dasar kepentingan peribadi.

Marilah bersederhana dalam berpolitik, jangan terlalu taksub dengan politik hingga terlupa ada perkara yang lebih mustahak daripada mengundi pada pilihan raya umum dan pilihanraya kecil. Iaitu tanggungjawab dan amanah besar sebagai khalifah di muka bumi.

Sesiapa yang malas berfikir, marilah berfikir sedikit. Buka ruang di minda untuk bermuhasabah, patutkan kita menyederhanakan darjah sokongan kita kepada ideologi politik yang kita bawa.Tidak kira kita di pihak kerajaaan atau pembangkang. Janganlah terlalu taksub sehingga melanggar batas peradaban antara manusia.