Friday 2 October 2009

This is quite a rambling

(Najwa belajar pakai tudung.)
Ini adalah sesi merepek pertama sejak beberapa post yang agak serius kebelakangan ini.

Kebelakangan ini saya selalu suka merungut sorang diri, bercakap sendiri. Banyak perkara yang mencuri masa lapang + masa rehat saya.

Antaranya, passport yang saya tertinggalkan di Terengganu. Bila passport tu saya dapat semula, baru teringat, muka suratnya dah habis. Jadi saya terpaksa ke pejabat imigresen menyiapkan passport baru. Dalam pada tu teringat passport lama saya, yang saya buat pada tahun 2002, sebelum menyambung pengajian di Universiti Zamalek, Mesir. Passport yang tamat tempoh pada tahun 2007 dengan hanya 3 muka surat bercop visa. Visa pertama ke Mesir pada 2002, visa kedua ke Switzerland pada 2005 dan visa ketiga ke Turki pada 2005 juga. Sangat sayang dan suatu pembaziran, sehingga tamat tempoh sah, passport itu masih kelihatan baru. Tetapi sejak bekerja, saya terpaksa merantau ke hampir seluruh dunia, di serata benua. Lupa, semasa menjadi penuntut sarjana juga, selain ke UK saya telah ke Belgium dan Perancis. Sehingga passport saya kehabisan muka surat dalam tempoh hanya 2 tahun. Betapa bila saya fikirkan kembali, banyaknya duit yang telah terhabis hanya untuk tiket kapal terbang. Ke UK, Perancis, South Africa, Jepun, Filipina, Indonesia, Norway, Turki---dan negara-negara lain yang cop visa dan pas lawatannya telah menyebabkan kesesakan ke atas passport saya. Bayangkan jika purata kadar tiket kapal terbang adalah >RM2000 X bil. negara yang saya pergi atas sebab kerja, yang jumlahnya >25=???. Sangat banyak ribuan ringgit. Nasib baik BP dan Petronas yang bayar. Kalau saya bayar sendiri, umur 60 tahun pun belum tentu saya pergi.

Kisah kedua berkaitan kepulangan ke Dubai. Ayah sudah merungut, saya kelihatannya seperti sudah tidak mahu pulang. Sangat malas untuk saya mengemas barang untuk pulang ke Dubai. Ditambah dengan memikirkan saya hanya akan pulang ke Dubai sekitar seminggu untuk berkemas-kemas, mengosongkan rumah sebelum berangkat ke UK. Kerana saya ditukarkan ke ibu pejabat BP di UK, berkuatkuasa November ini. Sangat sayang rasanya mahu meninggalkan apartment yang telah saya hias cantik kerana merancang menyambut 'orang baru'.

Awal pagi tadi, sekitar jam 2 pagi, anak buah saya, Najwa Ar-Rumaisaa' selamat tiba di rumah, bersama mama dan papanya. Pagi-pagi lagi sudah kecoh serumah, adik-adik yang bangun untuk ke sekolah menjerit-jerit melihat si kecil Najwa sudah balik dari rumah nenek sebelah papanya di Kulim, Kedah. Semasa Najwa tiba malam tadi, Paksu, Mak Andak dan Makchik sudah nyenyak tidur belaka. Najwa pula tersengih-sengih sambil menarik beg kecilnya. Mahu ke sekolah juga!

Tugas rutin saya sejak pulang ke Malaysia, menghantar adik bongsu, Danial ke sekolah. Kesian pula tengok Najwa yang menangis di muka pintu, mahu ikut saya menghantar Paksunya ke sekolah, lalu saya dukung si kecil itu bawa ke dalam kereta. Terlupa bahawa makcik seorang ini sudah pandai berjalan, jadi saya langsung tidak teringat untuk membawa kasutnya. Selesai menghantar Danial ke Sri Pintar, saya terus memandu ke warung menjual makanan, mahu beli makanan sarapan.Saya buka pintu kereta sebelah pemandu, menyua tangan mahu mendukung Najwa, pandai betul si kecil ni menggeleng-geleng mahu berjalan sendiri. Disebabkan terlupa membawa kasutnya, saya mengabaikan gelengan manja Najwa, terus mendukung. Dan memang menjadi rezeki saya pagi tadi, mungkin kerana marah sebab saya tidak mengizinkan dia berjalan, maka Najwa menghadiahkan saya satu gigitan kuat dengan menggunakan gigi susunya yang baru tumbuh 6 batang itu. Maka berbekaslah gigitan Najwa pada lengan saya yang menjadi satu memorial khas buat saya. Sakitnya, walaupun hanya ada 6 batang gigi!

Dalam perjalanan pulang, satu lagi kejadian ngeri berulang. Najwa mencampakkan kunci rumah yang saya berikan kepadanya sebagai peralit sementara saya memandu, keluar daripada kereta. Mujurnya tingkap di sebelah pemandu hanya terbuka kecil, hanya semuat tangan kanak-kanak. Jika tidak pasti Najwa akan melompat keluar sekali (nasib baik bukan kamu yang melompat Najwa oi, kalau tidak tidur lokap Aunty Farah malam ni).

Ini pula satu lagi perkara yang mengganggu kelapangan jiwa saya sejak kebelakangan ini. Tentang sijil original SPM saya yang sudah 7 tahun tidak saya tuntut. Sebelum-sebelum ini, jika berurusan, termasuk untuk pengajian peringkat asasi di UM, degree di UKM dan master di Queen's, saya hanya menggunakan sijil sementara yang LPM keluarkan. Entah mengapa untuk urusan biasiswa phd, slip sementara itu sudah tidak lagi diterima. Untuk mengambilnya pun agak bermasalah, sebab itu saya tidak pernah menuntutnya biarpun mendapat 11A1 dan 1A2. Bila saya telefon ke KISAS, keraninya menyuruh saya ambil di ABS. Bila telefon ABS, orang di ABS suruh tunggu dahulu. Mereka akan carikan. Hanya selepas 3 hari barulah ada orang hubungi, memberitahu sijil saya ada di ABS. Inilah nasib saya, seorang bekas calon persendirian yang menumpang!

Banyak lagi sebenarnya yang mahu saya rungutkan. Tapi ini sahaja yang boleh dikongsi dalam bukansyadid ini. Bukan apa, saya kesian pada wall bukansyadid ini, terpaksa menadah sahaja apabila saya menconteng benda-benda merepek pada tubuh dia yang masih mentah ini.

Lagi satu, apa sahaja yang dirungutkan, semuanya sudah Allah sediakan untuk kita. Dia tidak akan menguji dengan bebanan yang tidak larat untuk dipikul. Maka ikhlas dan redhalah dalam menempuh ujian yang bertandang dalam kehidupan.