Friday 18 December 2009

Kucing yang basah dan naluri seorang ibu...



Ini adalah gambar seekor anak kucing gelandangan yang tinggal di lorong belakang rumah saya. Anak kucing ini basah kerana ditimpa hujan beberapa minit sebelum kami memanggil semula ia supaya masuk dan berteduh di dalam rumah kami. Memanggil? Betul. Memang memanggil.
Ceritanya begini...
Pada awalnya, sewaktu keadaan cuaca masih mendung, tapi belum hujan, kucing kecil ini mengiau-ngiau lalu masuk ke dalam rumah melalui pintu yang terbuka. Terdetik dalam hati saya mungkin si kecil ini ketakutan mendengar bunyi petir yang berdentam dentum. Tetapi kerana sifat semulajadi saya yang memang takut dengan kucing sebarang saiz terutamanya kucing kecil, saya terus menaikkan kaki ke atas kerusi di meja makan. Kemudian datang adik saya Ati," Isk kucing ni asyik masuk je. Dahlah suka kencing dalam rumah". Lalu Ati menguis kucing tersebut keluar. Berdasarkan pengalaman kami, memang selalu kucing-kucing gelandangan yang tinggal di lorong belakang rumah kami ini suka masuk ke dalam rumah, mencuri makanan dan kemudian kencing di merata-rata tempat.
Waktu itu hujan lebat turun tiba-tiba. Kucing yang masih kecil ketakutan, mengiau-ngiau meminta simpati. Saya hanya berdiam diri, tidak bereaksi. Barangkali rasa takut pada haiwan itu lebih menebal berbanding rasa simpati. Hujan terus turun mencurah-curah. Kucing kecil berteleku kesejukan dan kebasahan di tepi longkang. Ati terus menutup pintu gril. Kucing kecil mengiau-ngiau lagi.
Selang dua tiga minit kemudian, mama datang ke dapur dari ruang tamu. Mama bertanya, " Mana datang bunyi anak kucing merengek tu?". Saya menuding jari ke arah luar pintu dapur. Mama menjenguk. Saya tahu selama ini, mama juga takut dengan kucing. Mungkin perasaan takut kepada kucing yang ada dalam diri saya diwarisi daripada mama.
"Angkat anak kucing tu bawak masuk dalam Ati. Kesian dia. Kucing tu baru baya-baya Najwa (anak buah saya, cucu pertama mama). Bayangkanlah kalau Najwa kena duduk tepi longkang hujan lebat gini. Mesti sejuk tu".
Ati akur. Dia keluar dalam hujan lebat itu, memanggil si kucing kecil yang ketakutan masuk semula ke dalam rumah. Kucing kecil itu seolah memahami. Apabila Ati membuat isyarat memanggilnya sahaja, terus dia berlari-lari masuk ke dalam dapur rumah kami. Keterdesakan dan kesejukan membuatkan kucing kecil itu terlupa pada ketakutannya. Bila difikirkan semula, tiada apa yang rugi jika ditumpangkan kucing itu sementara menanti hujan reda. Mungkin hanya sekadar pertolongan kecil, tetapi pahala yang kecil, jika dihimpun-himpun bisa membawa kita makin dekat kepada syurga. Percayalah, tiada apa yang akan dirugikan jika sekadar menumpangkan seekor kucing kecil yang kesejukan dan ketakutan sewaktu hujan. Ia juga makhluk Tuhan yang perlu perlindungan dan kerehatan. Perlukan belas kasihan daripada manusia seperti kita-kita ini.
Saya juga merenungi naluri keibuan sejati milik seorang insan yang pernah merasa jerihnya melahirkan. Ianya sebuah naluri yang sempurna. Penuh rasa belas kasihan dan keinginan untuk memberi keselesaan dan menjamin keselamatan. Walaupun hanya sekadar kepada seekor kucing kecil. Tetapi naluri seorang ibu membayangkan bagaimana jika hal seperti itu berlaku kepada anak manusia yang merupakan darah dagingnya. Kerana dia tidak mahu yang seperti itu berlaku kepada anak manusia, maka dia juga tidak mahu ianya berlaku kepada seekor kucing kecil yang tidak tahu mana asal usulnya itu. Benarlah, naluri keibuan sejati itu milik hati-hati yang lembut dan ikhlasnya sehingga berupaya melahirkan nyawa baru ke dunia. Yang lembut dan ikhlasnya mampu mengasihi sesama makhluk Allah di dunia. Yang lembut dan ikhlasnya mampu mencairkan hati insan lain, dan menuntun jiwa untuk kembali merenungi asal usul kejadian diri agar tidak sombong dan bongkak sehingga merasa diri sangat hebat berbanding makhluk Allah yang lain.
Orang kata, hari ini kita berbuat baik kepada sesama makhluk , esok lusa kita pula akan menerima kebaikan yang insya Allah akan memberi manfaat.
(",)