Wednesday 17 February 2010

bukan semua yang guna lorong tu perempuan tak baik...

Saya sudah agak lama memendam cerita ini. Tetapi semakin lama dipendam, semakin sesak terasa dalam hati menyimpannya. Kisah ini berlaku pada suatu pagi dalam bulan ramadhan yang lalu.

Kisahnya pada suatu awal pagi,saya menerima panggilan telefon daripada seorang sepupu. Dia tiba di KLIA sekitar jam 10 malam, dan mujurnya sempat menaiki tren terakhir KLIA Express ke KL Sentral. Dia tiba di KL Sentral sewaktu jam sudah merangkak ke angka 12 tengah malam. Dalam kekalutan mencari teksi kerana kenderaan awam lain sudah tamat jam perkhidmatannya, seorang pemuda menyapa sepupu saya. Dalam sekelip mata si pemuda berlalu pergi bersama beg pakaian beroda, telefon bimbit, laptop, duit tunai, passport dan dokumen lain meninggalkan sepupu perempuan saya ini dalam keadaan terpingapinga. Sepupu saya disamun dalam masa tidak sampai seminit oleh seorang lelaki kurus yang membawa pisau, di laluan pejalan kaki sunyi sebelah kawasan pembinaan (pada waktu itu) berhadapan KL Sentral menghala ke stesen monorel KL Sentral. Sepupu saya yang ketakutan berlari ke kedai mamak berhampiran, meminta bantuan seorang lelaki muda berusia lingkungan 20-an berketurunan India yang sedang makan. Lelaki India dan kawan-kawannya seramai 4 orang cuba menjejaki si penyamun di kawasan yang sepupu saya sebutkan, tetapi malangnya penyamun itu telah melarikan diri. Kumpulan lelaki India cuba menawarkan bantuan kepada sepupu saya. Mereka bertanya ke mana sepupu saya mahu pergi. Tetapi sepupu saya tidak tahu ke mana dia mahu pergi kerana alamat rumah kakak saya di Menara Putra yang telah diberi kepada sepupu saya itu dicatat di dalam telefon bimbitnya yang telah dilarikan oleh penyamun. Kemudian lelaki India menyuruh sepupu saya bertenang. Dia menyuruh sepupu saya mengingati nombor telefon sesiapa sahaja yang mampu diingati. Akhirnya sepupu saya memberi nombor telefon ibunya. Lelaki India meminjamkan telefon bimbitnya kepada sepupu saya, tetapi sebelum itu sempat mengajar sepupu saya yang sedang panik itu apa yang harus diberitahu kepada ibunya di Terengganu . Lelaki India menyuruh sepupu saya bertenang, dan menceritakan kepada ibunya di kampung dalam keadaan tenang juga dan meminta ibu di kampung supaya tidak panik, sambil menyuruh si ibu mencari nombor telefon saya sebagai orang terdekat untuk dihubungi. Akhirnya si ibu dan juga sepupu saya berjaya mengawal panik. Si ibu dijamin oleh lelaki India bahawa anak gadisnya berada dalam keadaan selamat dan mereka akan menunggu sehingga saya datang. Kemudian sekali lagi telefon bimbit lelaki India gemuk dipinjamkan kepada sepupu saya, untuk menelefon saya meminta saya datang menjemputnya di KL Sentral.

Sejurus mendapat panggilan sepupu saya itu, saya bersama bapa saudara dan kakngah bergegas turun dari Menara Putra, menuju ke tempat meletak kereta. Malangnya kereta kami telah diblok oleh dua buah kereta lain. Saya melihat jam di skrin telefon bimbit, sudah 2.15 pagi. Ketika itu hujan renyai-renyai. Bapa saudara saya mencadangkan supaya mengambil teksi sahaja ke KL Sentral. Lalu kami melangkah pantas meninggalkan perkarangan Menara Putra menuju ke arah Medan Tuanku. Mulanya saya mencadangkan menunggu di hadapan KFC Jalan Raja Laut tetapi bapa saudara tidak bersetuju kerana di sana selalu ada orang kurang waras pada waktu sebegitu. Akhirnya kami berjalan kaki sahaja menyusuri jalan tersebut menghala ke Medan Tuanku menggunakan jalan berhampiran Lorong Haji Taib. Sampai di pejabat sebuah parti politik. Saya nampak 3 orang pemuda baru keluar daripada pejabat tersebut. Mereka berdiri di hadapan pintu pejabat. Dalam hati saya berkata, "Bagus betul diorang ni. Pukul 2.30 pagi baru habis kerja. Ni mesti orang baik-baik, sanggup berjuang demi agama, tidur lewat untuk bekerja demi parti".

Ceritanya tidak tamat di situ. Kerana selang beberapa minit selepas itu, hati saya jadi hampa melihat perangai kurang adab orang yang saya anggap pejuang tersebut.

Bayangkan, beberapa langkah meninggalkan pejabat parti politik tersebut, saya melalui pula kaki lima Public Bank. Kemudian menempuh sebuah restoran Cina yang baru tamat waktu perniagaan. Saya dan bapa saudara mengambil keputusan untuk keluar daripada zon selesa kaki lima kerana melihat lantai restoran Cina yang basah dengan air basuhan pinggan dan sisa makanan. Risau terpaksa mensertu kaki pula jika memijak sisa makanan yang sudah basah tersebut. Tidak mengapalah andai ditimpa hujan sekalipun. Kemudian tidak semena-mena, badan saya terasa seperti dilanggar sesuatu dari arah belakang. Saya jatuh tersungkur ke hadapan. Telapak tangan saya luka. Saya mengangkat kepala dan melihat salah seorang lelaki yang saya nampak, dan saya puji di hadapan pejabat parti politik tadi baru sahaja berlari pantas meninggalkan saya menuju ke sebuah kereta Perodua Myvi berwarna biru turqoise bernombor plat BK* ****(yang berbunga itu saya tidak ingat). Lelaki itulah yang melanggar saya dari belakang tadi. Saya sangat pasti itu dia. Saya menyumpah seranah (jangan pertikaikan ini kerana saya juga insan biasa,sakit hati itu adalah perkara biasa, lebih-lebih lagi yang kurang adab itu orang yang nampak alim dan nampak seperti boleh dikagumi tetapi hampeh).

Saya merasa berhak untuk marah kerana lelaki kurang ajar itu langsung tidak berpaling untuk meminta maaf dan bertanya kondisi saya. Takkan dia tidak sedar yang dilanggarnya itu anak manusia, bukan anak anjing. Anak manusia yang dilanggarnya itu luka telapak tangannya kerana terjatuh. Dia tidak sedarkah anak manusia itu terjatuh dan berkemungkinan cedera? Apalah bengap sangat pemuda itu. Kelihatannya seperti berpendidikan tinggi, rela tidur lewat berembun demi masyarakat (maksud saya parti politik adalah untuk rakyat, lebih-lebih lagi parti itu untuk rakyat beragama Islam) tetapi kiranya perkara paling asas dalam kehidupan bermasyarakat telah terlepas pandang daripada pandangan pemuda bajet bagus ini. Dia melanggar seorang anak manusia, wanita pula (bukankah nabi juga berpesan supaya melindungi wanita, dan Al Quran menyebut lelaki adalah pelindung wanita, An-Nisa'-34) kemudian anak manusia yang dilanggarnya itu terjatuh, luka telapak tangannya tetapi pemuda bajet bagus langsung tidak menoleh ke belakang untuk memohon maaf di atas kecuaiannya.

Sekurang-kurangnya cakaplah, "Sorry". Susah sangatkah?

Apa sebenarnya yang ada dalam fikiran pemuda bajet bagus tersebut? Apakah kerana dia melanggar saya pada pukul 2.30 pagi di suatu tempat berhampiran Lorong Haji Taib, sebuah kawasan pelacuran yang terkenal, maka dia pukul rata bahawa saya juga sebahagian daripada golongan tersebut dan tidak layak menerima kenyataan maaf darinya? Hei, bukalah mata luas sedikit dari itu. Saya berada di situ bersama bapa saudara dan kakak saya. Kami wanita bertudung yang terpaksa keluar malam kerana kecemasan.Jika tidak kerana hal kecemasan kami juga tidak mahu keluar selewat itu. Dan jika yang dilanggar itu pelacur sekalipun dia tetap perlu meminta maaf kerana pelacur juga manusia seperti dia walaupun si pemuda itu menganggap si pelacur tidak layak. Tetapi lupakah dia bahawa dia dulu lahir sebagai manusia, yang dilanggar itu (saya) juga manusia, dan jika dia melanggar seorang pelacur sekalipun, pelacur itu tetap manusia.

Rumusan saya mudah sahaja, pemuda bajet bagus itu terlalu sombong untuk memohon maaf. Terlalu tinggi ilmunya mungkin (pada anggapan dialah). Ialah yang dilanggar itu perempuan yang keluar pada jam 2 pagi. Pada pandangannya jam 2 pagi seorang perempuan tidak wajar keluar, jika keluar juga maka perempuan itu bukanlah dari kalangan yang boleh dibuat isteri (ada aku kesah?). Inilah dia contoh pemimpin masa hadapankan.Kankankankan.

Seperkara lagi jika benar mahu berbakti kepada masyarakat, sepatutnya mulakan dari awal. Ambil kira perasaan orang kiri kanan dalam ehwal kemasyarakatan bukan setakat berprotes demonstrasi di sana sini demi parti sedangkan tempang dalam kehidupan peribadi. Bukankah pemimpin yang baik itu adalah orang yang peribadinya tidak menyakitkan orang lain? Inilah luahan hati saya kepada pemuda biadap itu. Seandainya (misalan katalah) dia terbaca entry ini ketahuilah bahawa seorang wanita kurang pemaaf ini sedang menagih permohonan maaf daripadanya. Sehingga kini jika saya ke Kuala Lumpur saya akan melalui kawasan berkenaan mencari-cari jika Perodua Myvi itu masih diletak di situ kerana ada pesanan mahu saya tinggalkan di cermin keretanya. Pesanan daripada seorang wanita yang terluka telapak tangannya kerana dilanggar seorang pemuda biadap. Saya bukan menyalahkan ideologi politiknya atau fahamannya, atau jenis pendidikannya. Saya tidak ambil kira itu semua,jika parti pemerintah pun, saya tidak peduli . Itu belakang kira. Cuma peribadinya itu. Ada sedikit keraguan di situ. Lebih-lebih lagi membawa imej Islam, malulah jika peribadi biadap sebegitu dipernampakkan, khuatir orang akan menuding kepada imej Islam yang dibawanya kelak.

Sambung cerita tentang misi menyelamatkan sepupu saya,

Kemudian dalam keadaan tangan terluka saya dan bapa saudara serta kakngah mendapat teksi berhampiran Maju Junction, di hadapan Tune Hotel. Kami selamat bertemu dengan si sepupu di sebuah kedai mamak berhampiran stesen Monorel KL Sentral. Kemudian ke balai polis Brickfields untuk membuat laporan. Apa yang mengharukan kumpulan pemuda India setia menunggu bersama sepupu saya demi menjamin keselamatan gadis itu. Dan dari cerita sepupu saya, rasa terharu lekas bercambah menjadi kagum. Si sepupu berkata, salah seorang pemuda India mencadangkan untuk menelefon saya semula, meminta alamat daripada saya dan terus menghantar sepupu saya ke rumah di Menara Putra, tetapi idea itu disangkal oleh pemuda India berbadan gempal, katanya, "Ini budak agama punya orang. Pakai tudung. Tak boleh buat main mahu hantar nanti kesian sama emak dia kampung sana susah hati. Kita tunggu saja sama dia sini".

Faham? Dua situasi yang berbeza di satu awal pagi yang sama. Saya bertemu dengan seorang pemuda Melayu Islam yang pada mulanya saya anggap pejuang agama, saya beri pujian di dalam hati tapi kemudian berlaku biadap. Sepupu saya bertemu dengan sekumpulan pemuda India yang pada mulanya dia pun takut untuk meminta pertolongan kerana kelihatan ganas dan moden, budak hip-hoplah mungkin (you know, seperti dalam iklan hari Deepavali Petronas-trend remaja India sekarang) tetapi kemudiannya terkesan dengan kebaikan mereka.

Itulah yang dipandang dari mata kasar selalu tidak sama dengan yang benar-benar secara realitinya. Saya tidak maksudkan semua yang nampak baik itu begini perangainya, di luar sana ramai yang nampak baik, nampak alim, nampak berpendidikan tinggi itu tidak begini. Mereka benar-benar bagus dan baik. Tapi dalam sesetengah situasi kita harus percaya kepada kenyataan ego dan hipokrasi itu ada di mana-mana dan kadangkala dalam keadaan terdesak (dalam kes saya waktu itu hujan sedang agak lebat) hipokrasi dan keegoan serta sikap mementingkan diri sendiri itu mampu menjelma tanpa disedari. Realitilah bukan hidup ini.