Thursday 8 October 2009

Ambil kamus, saya mahu berpesan.

Saya mahu berkisah tentang sesuatu yang pada saya agak penting untuk perhatian semua muslimin dan muslimat dalam arena per'blog'an ini.

Baru-baru ini saya log in ke akaun facebook. Sudah agak lama tidak melawat ke sana. Ada seseorang yang tidak saya kenali telah meng"add" saya. Jadi saya approvekan sahaja. Tidak ada apa-apa yang salah tentang ini, walaupun saya bukanlah orangnya yang suka add orang, tapi bila orang add saya, saya approvekan sahaja.

Tetapi yang mahu saya bicara sedikit adalah tentang sedikit updates dari profil pelajar tersebut yang berbunyi hampir begini, "(si fulan) has whipped bacon cheeseburger in cafe....".

Ini yang membuatkan saya terperanjat. Biar saya jelaskan, bacon cheeseburger adalah makanan yang berunsurkan babi dan haram dimakan. Bacon, mengikut kamus dwibahasa Oxford Fajar, muka surat 29 adalah daging babi yang telah diasinkan atau disalai.

Mungkin perkara ini kelihatan remeh sahaja, tetapi saya sebagai seorang muslim yang pernah tinggal, belajar dan bekerja di negara bukan Islam, makanan tidak halal seperti bacon cheeseburger ini dijual di merata-rata tempat dan menjadi suatu kepentingan untuk kita mengetahui nama makanan-makanan yang halal dimakan dan yang tidak halal semasa berkunjung ke negara-negara bukan Islam ini. Dikhuatiri jika kita tidak mengetahuinya, maka kita akan membeli dan termakan makanan yang tidak halal ini.

Jadi ada pentingnya membawa dan merujuk kamus ketika berjalan-jalan di luar negara. Begitu juga ketika bermain apa-apa aplikasi di dalam internet, facebook terutamanya. Pastikan anda faham apa yang anda pilih, apa yang anda mainkan. Kerana ada seseparuh aplikasi berorientasikan kepada hiburan yang bertujuan merendah-rendahkan Islam dan menghina penganut Islam. Jika anda tidak faham, sila rujuk kamus. Saya sendiri yang mempunyai kelulusan IELTS band 8.5 dan Delf 4 untuk bahasa Perancis pun masih lagi merujuk kamus ketika berurusan di negara-negara bukan Islam tersebut, dan juga ketika menggunakan internet.

Ini adalah sebagai pesanan kepada sesama muslim, agar tidak ada yang menyesal di kemudian hari. Terutamanya saya, menyesal kerana tidak memberi perhatian kepada perkara sekecil ini yang berlaku dalam kehidupan seharian insan muslim di sekeliling saya.
Untuk perhatian kepada sesama saudara seperti mana yang terkandung di dalam Al Quran.

(1)Demi Masa!
(2)Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian
(3)Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran.
(Al-Asr', 1-3)

Mari sama-sama bertindak agar tidak menjadi manusia yang rugi.