Sunday 11 October 2009

Sekularkah saya?

Saya termenung panjang tadi setelah menerima e-mel daripada seorang bloger yang kebetulan terjumpa blog saya ini semasa melayari internet. Saya yakin bloger berusia 21 tahun itu secara tidak sengaja terjumpa blog ini memandangkan saya tidak pernah mengiklankan blog saya ini di mana-mana pun. Bahkan mengajak orang berziarah ke blog saya melalui pemberian link di shoutbox bloger lain juga tidak pernah saya lakukan. Tutup cerita pasal pengiklanan blog ini.

Kisahnya saya terkejut dengan pertanyaan bloger berusia 21 tahun yang dakwanya sedang menuntut di Universiti Al Azhar, Mesir. Pertanyaannya berbunyi seperti ini, "Ukhti tidak rasakan ukhti sekularkah? Sanggup meninggalkan bidang tahfiz untuk bergelar jurutera. Lebih-lebih lagi bekerja dengan syarikat British yang nyata adalah sekutu paling kuat Amerika Syarikat".

Jawapan saya, masih di dalam hati, tidak saya luahkan melalui e-mel. Risau jawapan saya lebih berbaur amarah berbanding menyatakan pendirian. Memang. Saya akui. Ikutkan hati, siapa yang tidak marah diterjah (pada saya lebih tepat lagi perkataan dituduh) dengan soalan yang lebih kepada anggapan bahawa saya ini adalah seorang yang sekular.

Saya terasa seperti perkataan itu terngiang-ngiang di telinga, SEKULARKAH SAYA?

Apa dosa saya menjadi seorang jurutera wahai Azhari berusia 21 tahun. Saya tidak minta anda membaca blog saya. Saya sedar blog ini tidaklah sehebat blog rakan-rakan anda. Sekadar tempat saya meluah rasa dan berkongsi pandangan. Sesiapa yang terjumpa blog ini, terbaca, langsung berasa mual, nak muntah nak pengsan, atau meluat, maka tolonglah tutup sahaja. Bukan susah. Gerakkan cursor, pergi pada tanda pangkah di bahagian atas. Tutup. Senang. Saya tidak minta anda follow blog saya. Sebab itu saya tidak letak shoutbox atau access follower.

Namun saya berterima kasih kepada beberapa sahabat bloger yang sudi memberi komen dan bertukar pendapat. Sudi berkongsi pandangan dan memberi perhatian dan berkongsi ilmu bersama. Saya sedar ilmu saya tidak sehebat ilmu anda wahai Azhari berusia 21 tahun. Saya minta maaf andai kehadiran bukansyadid ini dalam arena per'blog'an menyemakkan pandangan mata anda. Saya minta maaf banyak-banyak.

Tapi, saya ada sedikit soalan buat saudara, Azhari berusia 21 tahun.

i) Jika suatu hari ditakdirkan saudara mahu membina masjid dan universiti islam, adakah saudara mahu masjid dan universiti islam saudara dirancang, dan direka oleh jurutera dan arkitek kafir sedangkan ramai jurutera muslim lain boleh melakukannya?

ii)Jika suatu hari saudara menjadi menteri yang menguruskan ehwal kepenggunaan, import dan eksport, mahukah saudara terus terpaksa mengimport barangan kepenggunaan dari sekecil-kecil sabun dan ubat-ubatan sehingga ke teknologi besar seperti reaktor janakuasa dan petroleum kerana negara saudara tidak punya tenaga pakar dalam bidang teknologi dan pembuatan?

iii) Jika saudara mahu dibedah, dan ada dua pilihan doktor, yang pertama seorang kafir yang sudah pasti tidak membaca basmalah pun sewaktu memulakan pembedahan dan seorang lagi seorang doktor muslim yang hafaz Al Quran, yang mana satu saudara pilih?

Saya bermaksud, biarpun memilih untuk bekerja dalam profesion yang berlandaskan sains dan teknologi, seperti kejuruteraan dan perubatan, namun sebagai muslim, agama Islam tetap menjadi tunjang utama.

Biarpun saya memilih untuk bekerja sebagai jurutera namun pendidikan tahfiz Al Quran yang sudah saya ceburi sejak berusia 4 tahun lagi tidak pernah saya tinggalkan dan saya biarkan sepi.

Adakah saya boleh dituduh sebagai sekular hanya kerana saya memilih untuk menjadi seorang jurutera di British Petroleum? Saya tidak tahu penilaian orang terhadap saya.

Namun bagi saya semua orang mampu memberi sumbangan dengan caranya yang tersendiri. Biarpun orang jahil seperti saya yang tidak melanjutkan pengajian peringkat sarjana muda, sarjana dan PhD dalam bidang agama, sebaliknya memilih kejuruteraan.

Tetapi dalam masyarakat itu, tidak semua orang berbakat dalam segala bidang.

Apa kata jika kita saling melengkapi dengan kelebihan bidang ilmu yang kita miliki.

Para doktor membantu masyarakat supaya menjadi masyarakat yang sihat, agar bila badan sihat dapat beribadah dengan baik.

Para jurutera membantu dalam pembangunan teknologi dan kemahiran. Supaya umat Islam akan memiliki teknologi dan kelengkapannya yang tersendiri dan mengurangkan kebergantungan pada teknologi kuffar.

Para Azhari dan agamawan lainnya membantu menyelesaikan masalah ummah, hukum hakam, akhlak, menyeru manusia supaya menjadi hamba Allah yang baik. Mengajar manusia bagaimana untuk beribadat dengan betul dan menyelesaikan permasalahan ummah berlandaskan syariat.

Para guru mendidik anak bangsa menjadi bangsa yang berilmu dan berwawasan supaya tidak diinjak-injak oleh orang-orang kafir.

Dan lain-lainnya.

Menjadi jurutera tidak sesekali bermaksud saya meninggalkan terus bidang tahfiz yang pernah saya berusaha keras untuk mencapai matlamat menghafaz 30 juzuk Al Quran. Tidak sekali-kali.

Namun saudara Azhari berusia 21 tahun, anda lebih berhak menilai. Katakan apa sahaja. Terpulanglah. Marah saya sudah reda. Semoga selepas ini tiada duri lagi daripada sudut hati saya untuk saudara.