Friday 23 October 2009

Hantu atau pencuri?


Beberapa hari lalu, ketika operasi mengemas untuk berpindah, saya baru tersedar bahawa sepasang safety boots yang saya beli semasa menjalani latihan praktikal telah hilang. Mungkin kerana sudah lama tidak dipakai, safety boots itu merajuk lalu menghilangkan diri. Barangkali dicuri atau juga saya sendiri tersalah letak, biarlah. Saya jarang menggunakan safety boots sekarang walaupun safety helmet penting juga dalam karier yang sekarang ini. Untuk melawat project site, di Umm Al Quwein terutamanya, safety helmet sahaja yang penting kerana orang nampak. Safety boots tidak penting, pakai jubah labuh sedikit, maka tiada siapa yang akan menilik sehingga ke kaki. Lebih-lebih lagi bagi jurutera perempuan.

Cerita tentang episod kecurian ini, saya ada satu kisah yang berlaku ketika dalam tahun ketiga pengajian peringkat ijazah sarjana muda. Kira-kira 2 tahun lepas. Waktu itu saya dan rakan-rakan menyewa di sebuah rumah teres dua tingkat di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, berdekatan Nilai dan KLIA.

Pada malam sebelum itu, ketua rumah kami, Cik Su telah mengkhabarkan berita hangat yang tersebar ke seluruh pelusuk taman bahawa rumah yang betul-betul di sebelah rumah kami, yang didiami oleh sebuah keluarga Melayu telah dimasuki perompak yang mengacukan parang ke leher anak bongsu keluarga tersebut yang baru sekolah tadika, mengugut ibu bapanya supaya menyerahkan barang berharga jika tidak mahu anak kecil mereka dicederakan. Sewaktu kejadian itu, rumah sewa kami kosong kerana sudah sampai penghujung ramadhan, dan kami semua sudah pulang ke kampung halaman untuk berhari raya. Jadi berita rompakan tersebut hanya tiba ke telinga setelah kami pulang selepas tamat cuti hari raya.
Ketika Cik Su memberi perkhabaran tersebut, kami tidak ambil berat sangat. Malah sempat berlawak jenaka. Yang saya ingat, Iqi berkata begini, : Kalau perompak tu datang, kau bagilah dia buku kimia aku ni, mana tau dia insaf tengok buku ni tebal sangat, terus berhenti jadi perompak, nak jadi engineer pulak. Ada pula yang berkata, : Alah perompak tu tengok pun tau kesian, rumah students, mana ada duit. Kita nak makan pun mintak mak bapak. Wajiha pula dalam lenggang lenggoknya berkata,: Perompak tu cuti rayalah wei. Saya pula sempat bergurau seperti ini: Kalau dia datang, aku hidang kuih rayalah, sempena hari raya yang mulia ni.

Cik Su sebagai ketua rumah hanya menumpang gelak. Tapi sebagai seorang ketua yang bertanggungjawab, beliau sempat mengingatkan, :Gelak-gelak juga. Tapi rumah kita ni semua perempuan. Bahaya juga kalau yang merompak tu lelaki. Namun nasihat Cik Su tidak kami ambil pusing sangat sambil kami bergelak ketawa bermain kejar-kejar di dalam rumah.

Jam 3 pagi saya bangun dari tidur, turun ke ruang tamu untuk memulakan rutin harian. Ada beberapa rakan lain sudah bangun. Cik Su, Bihah dan Mira. Bangun untuk bersolat dan mengulangkaji. Memang menjadi kebiasaan bagi kami yang bangun solat dan belajar pada awal pagi akan berada di ruang tamu kerana tidak mahu mengganggu rakan lain yang sedang tidur di dalam bilik.

Selesai solat, saya juga turut membuka buku. Sambil berborak-borak. Antaranya tentang kebimbangan masyarakat sekeliling tentang kes rompakan yang semakin berleluasa di kawasan Sepang waktu itu. Terutamanya di taman perumahan kami yang terletak jauh daripada penempatan manusia lain. Tapi kami, penghuni rumah tersebut langsung tidak gusar. Kerana sangat pasti rumah kami akan selamat dengan keyakinan sebegini, rumah ni tengok dari depan pun tahu rumah bujang, mustahil perompak nak masuk.Ye waktu itu kami sangat yakin dan pasti dengan pendapat sebegitu. Malahan kami sangat berani. Sehingga kami berani tidur malam tanpa menutup pagar, mengunci pintu gril dan juga pintu kayu depan dan belakang. Serta membiarkan sliding door terbuka luas. Sangat berani kami waktu itu.

Tapi keberanian kami tidak kekal lama. Sekitar jam 4.30 pagi, sewaktu sedang kusyuk mengulangkaji pelajaran, tiba-tiba, kami terdengar bunyi tombol pintu dipulas secara paksa dari luar rumah. Mujurnya Cik Su sempat menekan punat pengunci sewaktu turun ke ruang tamu untuk mengulang kaji tadi. Maka kami, dengan tidak cukup lantainya berlari menaiki tangga sambil menjerit-jerit, “perompak-perompak. Tolong” bagi mengejutkan rakan-rakan lain yang sedang tidur di bilik atas. Kalau boleh, sehingga jiran-jiran pun kami mahu kejutkan juga. Padahal belum tentupun yang memulas tombol itu benar-benar perompak. Kerana kami tidak sempat menjenguk untuk memastikan, terus sahaja lari bertempiaran.

Yang paling teruk menjadi mangsa, adalah Cik Su yang ketika kejadian sedang tidur-tidur ayam di sudut ruang tamu, apabila Mira yang gelabah dan tidak sempat mengejutkan Cik Su telah bertindak mengheret sahabat kami yang seorang itu sehingga ke kaki tangga. Biha yang waktu itu sedang solat hajat juga terus berlari dengan bertelekung apabila terdengar kami menjerit-jerit perompak. Masa nak naik tangga pun satu hal, bertolak-tolak sampai saya jatuh tersadung, terseliuh kaki, tapi saya dengan kaki yang terseliuh, terus berlari juga naik ke atas. Saya pasti, kalau itu adalah sebuah latihan kebakaran, maka kami akan didenda melakukannya untuk kali kedua, ketiga dan keempat. Sudahlah tangga itu tangga kayu, bunyinya sangatlah bising apabila ada orang berlari-lari naik atau turun, Apatah lagi apabila yang mahu naik itu seramai 4 orang, ditambah lagi dengan mulut yang bising, menjerit-jerit. Kalau benarlah yang memulas tombol pintu itu adalah perompak, maka dia pun akan berlari ketakutan mendengarkan jeritan kami yang sangat bising itu.

Awal pagi itu, kami serumah seramai tujuh orang ini bersempit-sempit di dalam satu bilik, menunggu diselamatkan mungkin. Ketika hari sudah terang, kami menjenguk melalui tingkap ke bawah, barangkali yang kami ingat perompak itu pun sudah balik rumah tidur.

Jam 8 pagi, sewaktu sedang menghidupkan enjin kereta untuk pergi ke kampus, saya terserempak dengan Aunty Syila, jiran sebelah rumah kami. Dia mahu ke tempat kerja. Jadi saya dan Cik Su pun mengambil kesempatan untuk berbual.

Cik Su : Aunty, malam tadi rumah kami nyaris nak dimasuki perompak. (Ayat menduduh, padahal tak tahupun itu betul-betul perompak ke tidak)

Aunty Syila : Yeke? Pukul berapa? (Aunty Syila buat muka terkejut)

Cik Su : Dalam pukul 4.30-5 tu.

Farah : Betul Aunty, takut kami semua. Berlari kami naik ke atas. Perompak tu pulas tombol pintu. (Saya menunjukkan aksi seperti ketakutan sambil membulatkan mata)

Aunty Syila : Lah, yeke. Aunty dengar bunyi bising dari rumah you all dalam waktu tulah. Bunyi orang naik tangga. Aunty ingatkan you all bangun sahur untuk puasa 6.

Cik Su : Erk, aunty we all nyaris nak kena rompaklah, bukan bangun sahur. (huhu)

Kami berpisah di situ kerana Aunty Syila perlu ke tempat kerja. Sebelum berpisah, Aunty Syila sempat mengingatkan kami supaya lebih berhati-hati di lain kali. Aunty Syila juga menasihatkan kami supaya membeli kunci mangga untuk pintu-pintu gril dan pagar.

Balik dari kuliah pada hari tersebut, semua orang dengan semangat baru, ingin lebih menjaga keselamatan. Bukan 1, bukan 2 malah 5 kunci mangga bersaiz gajah kami beli untuk mengunci gril, sehingga terlebih, tidak tahu lagi di mana mahu dimanggakan. Mungkin boleh dibuat loket, digantung di leher.

Saya juga sangat terkesan dengan pesanan Cik Su sebagai ketua rumah kami, kata Cik Su : Korang semua ni control lah volume suara korang. Jangan suka menjerit-jerit, naik tangga tu janganlah selalu lari-lari dan jangan suka main kejar-kejar dalam rumah. Korang tau tak, jiran pun confuse dengan kita. Jiran pun payah nak bezakan kita ni samada menjerit mintak tolong sebab kena rompak ke atau menjerit saja-saja. Sampai Aunty Syila ingat kita memang bising sebab bangun sahur nak puasa enam. (Huhu...Saya pun tahu itu. Memang Aunty Syila telah terkeliru dengan kami)

Semenjak hari tersebut, kami semua lebih berhati-hati. Dan yang pasti, kami mengunci segala jenis pintu yang ada di rumah sewa kami tersebut dengan kunci mangga dan juga rantai bersaiz gajah rimau. Alhamdulillah, sehingga saya keluar daripada rumah tersebut, rumah kami tidak pernah dikunjungi perompak lagI .(barangkali perompak tersebut sudah trauma dengan jeritan kami)

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوفْ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الأَمَوَالِ وَالأنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُواْ إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
أُولَـئِكَ عَلَيْهِمْ صَلَوَاتٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَرَحْمَةٌ وَأُولَـئِكَ هُمُ الْمُهْتَدُونَ

“Demi sesungguhnya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman.Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa kesusahan, mereka berkata : Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepadaNya jualah kami kembali (inna lillahi wa inna ilaihi rajiun).Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka, serta rahmatNya, dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya”.(Al Baqarah 155-157)