Thursday 22 October 2009

Aduhai emak...


Satu masa dahulu, semasa berumur 16 tahun,ketika itu saya sedang menuntut di pusat Asasi Sains UM, saya terpandang dan terdengar satu peristiwa yang sampai masa ini selalu menghibakan hati dan jiwa saya serta selalu menjadi alerting reminder kepada saya apabila saya bermalas-malasan mahu belajar.
Ini kisahnya:

Pada satu hari, di penghujung Ramadhan tahun 2003,sekitar 2 hari terakhir puasa, mama menyuruh saya pegi ke kedai runcit berdekatan membeli bawang dan rempah sup. Mula-mula saya merungut, alasan saya malas mahu pakai tudung dan menyalin baju lengan panjang. Sebenarnya saya tidak mahu meninggalkan video game yang sedang dimainkan dengan adik-adik saya. Risau nanti mereka akan jalan dahulu dan saya pula akan kalah. “Alah, suruhlah Kakngah ke Kaklong ke. Kalau nak pergi kedai je mesti suruh Kak Farah”.Saya merungut. Mama diam sahaja. Saya tahu mama marah. Lalu sayapun mengikut mama sehingga ke dapur. Rela dalam terpaksa. Tapi setelah melihat ketiga-tiga kakak saya berkumpul di dapur, membantu mama menyiapkan juadah untuk berbuka puasa,saya terus jadi rela untuk pergi ke kedai. (Sebenarnya tidak mahu disuruh menolong di dapur juga kalau tidak ke kedai, lagi saya malas tu)

Jarak kedai dengan rumah saya hanya selang sebuah rumah. Sangat dekat, jadi saya dan adik beradik antara yang paling kerap ke kedai berbanding penduduk taman yang lain. Ketika sampai di kedai, saya melihat ada sebuah keluarga sedang membeli persiapan untuk memasak juadah berhari raya mungkin. Ada serai, ada daun kunyit, lada api, rempah kari, macam-macam lagi. Ketupat segera pun ada. Keluarga itu terdiri daripada seorang lelaki dewasa, perempuan dewasa dan seorang wanita tua. Saya kenal lelaki itu, iaitu pakcik yang selalu bertenggek di lori sampah yang memungut sampah di kawasan perumahan kami. Saya selalu nampak pakcik tersebut mengangkat tong sampah di belakang rumah saya, mencurahkan isinya ke dalam lori sampah dan meletakkannya kembali ke tempat asal. Saya senyum sahaja kepada pakcik itu. Mungkin beliau tidak kenal saya pun.

Saya lihat perempuan tua (mungkin ibu kepada pakcik tersebut kerana wajahnya yang mirip antara satu sama lain) membelek-belek kuih-kuih raya yang dijual. Kuih-kuih yang bermacam-macam jenis. Ada kuih tart, batang buruk, biskut makmur dan suji. Perempuan tua mengangkat bekas berisi kuih tart, menunjukkan kepada anaknya.
“ Sedap nampaknya kuih ni. Mat, boleh emak beli yang ini?”
Saya nampak wajah pakcik tersebut bertukar rona. Serba salah gamaknya. Dia lantas meraba poket seluar, mengeluarkan dompet. Menjenguk isinya seketika. Emaknya masih menunggu persetujuan si anak. Tangannya masih erat memegang bekas kuih tart.
“Tak bolehlah emak. Duit ni cukup-cukup nak buat beli barang tu aje”. Si anak berkata sambil menunjuk ke arah barang-barang yang terletak di atas kaunter. Perempuan tua mengangguk-angguk sambil meletak kembali bekas kuih tart ke dalam rak. Ada riak sedih di wajahnya.
Saya? Pastilah sangat pilu dan sedih. Sebentar tadi baru sahaja saya menyanggah cakap seorang ibu dan memberi pelbagai alasan untuk mengelak suruhannya, dan kini kisah seorang ibu yang lain menyentak hati saya.
Semenjak hari itu, saya berazam untuk belajar dengan lebih tekun. Kerana saya tidak mahu memberi alasan duit tidak cukup apabila mama mahu saya membelikan sesuatu. Saya pasti, mama saya tidak perlu meminta daripada saya jika dia mahu membeli kuih tart. Pasti mama punya wang yang cukup untuk membelinya, jika tidak duit mama sendiri, pastilah duit yang diberi ayah atau kakak-kakak yang lain, tetapi sebolehnya saya mahu punya taraf hidup yang baik, yang tidak membuatkan mama sedih dengan kesusahan hidup saya.
Sebagai seorang perempuan, biarpun belum menjadi seorang isteri dan ibu, saya sendiri melihatnya. Setiap ibu, bila mana dia mahukan anak-anaknya belajar dengan bersungguh-sungguh, supaya dapat kerja yang baik kelak, bukan kerana dia mahukan kesenangan wang ringgit daripada anaknya, tetapi kerana dia mahu anaknya tidak susah dan menderita. Apabila si anak tidak belajar dengan bersungguh-sungguh, tidak kerja bagus, maka si anak akan menderita. Menderita kerana tidak ada wang untuk membelikan bayinya susu, tiada duit mahu membeli beras, tiada wang untuk membawa bayi yang demam ke klinik, tiada duit untuk mengisi minyak motosikal. Bila si anak menderita, ibunya yang sudah tua akan turut menderita. Kerana ibu yang mengandung dan melahirkan. Darah yang mengalir dalam segenap urat nadi si anak adalah darah yang mengalir dalam diri si ibu. Bahagia anak, bahagialah ibu. Derita si anak, maka deritalah si ibu.
Memang wang bukan penjamin kebahagiaan, tetapi tanpa wang, kebanyakan masa dalam hidup akan jadi serba tidak kena.
Sudah lebih 6 tahun peristiwa itu berlalu.Sudah bersilih ganti penghujung ramadhan dan hari raya Adili Fitri yang saya lalui. Daripada seorang pelajar asasi, saya kini sudahpun bergelar seorang jurutera R&D. Tetapi kisah seorang emak dan kuih tart masih saya ingat. Saya doakan semoga si emak dan anaknya berbahagia. Anaknya (pakcik) tersebut juga sudah tidak bekerja mengutip sampah di taman perumahan yang keluarga saya duduki lagi. Mungkin sudah mendapat pekerjaan yang lebih baik.
وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).
(Luqman, 14)