Wednesday 28 October 2009

Allah tempat meminta...INGAT TU!!!



SALINA, FARAHDINA. A SAMAD SAID dan AL –IKHLAS

Saya sedang mengemas-ngemas kotak buku apabila terjumpa naskhah lama novel yang pernah menjadi bualan hangat suatu masa dahulu, SALINA. Hasil karya sasterawan negara, A SAMAD SAID. Tergerak hati untuk membacanya, lantaran plotnya yang banyak lainnya daripada novel-novel arus perdana yang banyak ada di pasaran sekarang (sebenarnya saya juga sudah terlupa samada saya pernah membacanya sebelum ini atau tidak, mungkin pernah, tapi berbelas tahun dahulu, semasa masih di bangku persekolahan rendah sehingga saya sudah terlupa langsung jalan ceritanya bagaimana).
Sepanjang pembacaan, saya tidak menepati kerisauan para pengkritik sastera terdahulu yang begitu khuatir dengan kekerasan latar yang terpamer di dalam novel tersebut. Dahulu, mereka sangat bimbang bahawasanya masyarakat pembaca tidak dapat menerima watak SALINA yang dimainkan oleh seorang pelacur. Saya tidak tahu orang lain, tetapi saya sedikitpun tidak jelik dengan adegan pelacuran yang digembar-gemburkan itu, yang pernah menimbulkan kerisauan kepada para pengkritik sastera terdahulu. Ikhlas pada pengamatan saya, adegan itu tidak seteruk mana (HAMPIR TIADA PUN) berbanding yang tersiar di 360 atau dalam filem remaja “Bohsia”. Mungkin jika 360 atau Bohsia diterbitkan sezaman dengan SALINA, maka Mazidul Akmal Sidek dan Syamsul Yusuf Haslam perlu menghadap lebih banyak pertanyaan yang dikemukakan oleh para pengkritik berbanding yang dialami oleh A SAMAD SAID.
Cumanya, tekak terasa kembang sedikit saat A SAMAD SAID menceritakan perihal tandas berek PWD yang dikongsi oleh masyarakat majmuk penghuni berek PWD yang sudah sedia padat, dan bila malamnya ditumpangi pula oleh penghuni setinggan di Kampung Kambing yang tinggal di dalam bekas kandang kambing yang sebenarnya tidak layak untuk dihuni oleh masyarakat kambing pun. Juga ada sedikit rasa mahu termuntah tatkala A SAMAD SAID membawa pembaca menghayati binaan-binaan longkang tanpa disimen dan isinya yang terapung-apung bersama-sama najis kambing belaan Kurupaya Samy (pemilik Kampung Kambing) yang juga turut bertindak sangat berperikemanusiaan dengan menyewakan bekas kandang kambingnya kepada sekumpulan manusia yang ketika itu sangat memerlukan tempat tinggal selepas bergawat-gawatan menghadapi perang dan kematian serta kehancuran (peace no war :p).
Boleh saya katakan di dalam SALINA, biarpun SALINA, si pelacur itu yang memainkan watak utama sehingga namanya diangkat menjadi tajuk novel, tetapi adegan pelacuran itu hampir tidak ada, sebaliknya yang lebih banyak merencahi plot novel adalah kisah masyarakat di Kampung Kambing dan bagaimana ahli masyarakat seperti SALINA, Hilmy, Katijah, Sunarto, Zarina, Abdul Fakar, Haji Karman, dan Nahidah (seingat saya) memberi peranan kepada kelompok masyarakat Kampung Kambing mereka, dalam menjalani hidup sehari-hari sebagai masyarakat yang cuba bangun semula dalam era pasca perang dunia kedua.

A SAMAD SAID nampaknya sangat berjaya membawa imaginasi orang seperti saya merentasi waktu, berpuluh-puluh tahun sebelum saya dilahirkan.

Ketika jam merangkak ke hampir angka 2 pagi, saya masih berjaga, membaca SALINA. Entah apalah mimpinya saya, sewaktu di zaman ijazah dahulu, kalau mahu membaca buku pelajaran, sangatlah liat. Tetapi kali ini tidak dipaksa, tidak diminta, mata sentiasa sahaja mahu terbuka.

Lalu saya meneruskan pembacaan. Mata masih belum mengantuk. Sekitar bab 16,muka surat 197 saya terpaku seketika.

Dalam babak itu, Haji Karman datang merapati SALINA yang dalam keresahan. Lalu beginilah yang terjadi.
Dia bertanya, “Inah tau surah Al Ikhlas?”
SALINA menggeleng. Kerana tidak tahu, walaupun berulangkali ketika Haji Karman membacakan surah itu perlahan-lahan. Qulhual’lahuahad.Allahus’samad. Lam yalid walam yulad. Walam yakullahu kufu’an ahad.Selepas itu dia memberikan ertinya pula : “Katakanlah (Ya Muhammad) bahawa Allah itu satu.Allah tempat meminta. Tiada ia beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tiadaseorang pun yang menyerupai –Nya.”Siti Salina diam mendengarkanyya. Haji Karman terus mengatakan , “ Ha, ingat! Allah tempat meminta. Sekarang kau harus minta kepada-Nya-minta ketenangan atau apa sahaja. Insya Allah Tuhan akan kabulkan permintaan kau itu.Ingat, Tuhan adalah pengasih dan penyayang.
Benar. Ada benarnya. Inilah mesej dakwah yang cuba disampaikan. Inilah yang hendak disampaikan oleh A SAMAD SAID. 
قُلۡ هُوَ ٱللَّهُ أَحَدٌ (١) ٱللَّهُ ٱلصَّمَدُ (٢) لَمۡ يَلِدۡ وَلَمۡ يُولَدۡ (٣) وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدُۢ (٤)
[1]Katakanlah (wahai Muhammad): "(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
[2]"Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
[3]"Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
[4]"Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya".
(Al Ikhlas 1-4)
Allah itu tempat meminta. Tiada tempat lain yang perlu dipinta. Hanya Dia! 
Bagaimana saya ini boleh terlepas pandang pada empat ayat surah pendek bergelar AL IKHLAS ini. Berapa banyak masa saya habiskan dengan menangis sendirian, mengongoi, mengadu (pada manusia) tatkala ditimpa masalah berbanding dengan berteleku, bersolat, bersujud,bertasbih, mengadu kepada Allah, berdoa memohon pada Allah supaya ditenangkan hati, dipermudahkan jalan,dikeluarkan daripada belenggu masalah. Sedangkan Allah sudahpun mengingatkan melalui surah sependek empat ayat ini bahawa Dia adalah tempat meminta. ALLAH TEMPAT MEMINTA!
Sungguh inilah yang adanya pada saya sebagai manusia. Kelemahan demi kelemahan. Saya berusaha menghafaz Al Quran, tetapi sangat jauh daripada pengamalan. Beberapa tahun daripada usia saya terbazir dengan berungut-rungutan, bersedih-sedihan dan menangis-nangis apabila ditimpa masalah, apabila ada perkara yang tidak saya ingini terjadi, yang saya hajati tidak termiliki. Sedangkan sudah lama saya mempelajari surah AL IKHLAS ini, tetapi sangat sedikit hikmah yang saya kutip daripadanya. Lebih tepat, sekadar menjadi bacaan pada rakaat pertama atau kedua ketika solat sendirian kerana ayatnya yang hanya ada empat menjimatkan waktu. Malunya saya kepada Al Quran. Dangkalnya saya sehingga empat ayat ini saya boleh terlepas pandang.
Bukankah hikmah itu, biar sekecil saiz mikroorganisme , ia tetap wajar direbut? Ilmu dan peringatan itu, walau hanya sependek empat ayat, nilainya adalah untuk dikutip dan dihimpun banyak-banyak dalam dada serta diamalkan sepanjang hayat.Hikmah itu, biarpun disampaikan oleh orang tua serabai dan nampak tidak alim seperti A samad Said ini, tetapi tetap ada nilai ilmunya.
Jam hampir 3 pagi, saya tertidur. SALINA masih belum saya habiskan pembacaannya. Insya Allah nanti akan saya habiskan. Jika ada pengajaran sehebat episod AL IKHLAS itu, akan saya catatkan lagi di sini.
---biarpun sukar bagiku melamar redha-Mu namun masihku mengharap ampunan-Mu...Wahai Tuhanku...Ya Allah---