Thursday 11 March 2010

Tidur orang Islam

Ok. Usrah lagi. Tapi ini handout lama dah. Refresh balik sini.

ISLAM adalah agama syumul (menyeluruh),yang menggariskan pelbagai panduan kepada manusia agar hidup sentiasa tenang dan terhindar daripada kemudaratan.

Dalam apa juga tindakan,manusia disaran mematuhi perintah dan menjauhi larangan agama kerana ia mempunyai hikmah dan kelebihan tersendiri.

Begitu juga dengan tidur,walaupun perkara ini nampak remeh, namun hakikatnya Islam tetap menggariskan fungsi dan kaedah tidur yang sempurna.

Tidur sebagai satu kerehatan yang amat dititikberatkan oleh Islam bertujuan memastikan umatnya sentiasa sihat dan cergas.Insan yang sihat akan membentuk ummah bermutu kerana terhindar daripada sikap malas serta jumud.Tuntutan supaya mendapat kerehatan mencukupi melalui tidur diakui oleh Rasulullah saw.

Dalam hadis diriwayatkan telah berlaku satu kisah mengenai seorang sahabat Rasulullah saw iaitu Abu Darda yang tidak mahu tidur malam kerana ingin melakukan ibadat.Berikutan tindakan itu,salah seorang di kalangan sahabat Rasulullah saw yang lain iaitu Salman telah menegur Abu Darda.Kata Salman,"Tuhanmu ada hak ke atas kamu,badan kamu ada hak ke atas kamu dan isteri kamu ada hak ke atas kamu.Berikan kepada semua itu akan hak-haknya.Sebaik mendengar kata-kata Salman,baginda saw bersabda maksudnya, Benarlah Salman."
(Hadis riwayat Bukhari).

Jelas di sini,setiap insan perlu melaksanakan hak yang dipertanggungjawabkan kepadanya di antaranya hak badan yang memerlukan kerehatan melalui tidur.

Dalam hadis lain diriwayatkan bahawa baginda memasuki masjid dan ternampak seutas tali yang merentangi dua tiang.Selepas bertanya kepada ahli masjid, baginda diberitahu bahawa tali itu kepunyaan Zainab. Zainab menggunakan tali itu untuk berpaut ketika keletihan mengerjakan sembahyang.Lalu baginda bersabda,"Bukakan tali ini. Hendaklah salah seorang di antara kamu bersembahyang ketika dirinya cergas dan ketika sudah mengantuk hendaklah tidur"
(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Hadis ini menunjukkan Islam amat mementingkan mutu dalam setiap amalan yang dikerjakan.Jika seseorang beribadat dalam keletihan, nescaya dia tidak akan memperoleh khusyuk,sedangkan hubungan khusyuk dalam solat amat dituntut dalam Islam.

Baginda turut menegah umat daripada mengerjakan sembahyang dalam keletihan.Baginda saw bersabda maksudnya : Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan dari Aisyah bahawa Nabi bersabda: "Jika seorang di antara kamu berasa mengantuk,hendaklah kamu tidur sehingga hilang rasa mengantuk.Jika seseorang bersembahyang ketika mengantuk berkemungkinan dia membaca istighfar (memohon ampun) sedangkan sebenarnya dia sedang mencaci dirinya sendiri."

Kerehatan yang diperolehi melalui tidur berpatutan juga berfungsi untuk mengerjakan ibadat pada malam hari.Perkara ini dilakukan baginda sebagaimana diterangkan dalam kitab Misyhkatul Masabih.

Pengarang kitab itu menjelaskan bahawa tidur pada siang hari dan amalan itu bukanlah satu perbuatan keji.Hujjatul Islam,Imam al-Ghazali dalam kitab 'Ihya Ulumiddin berkata: "Hendaklah seseorang tidak meninggalkan tidur pada siang hari kerana ia membantu ibadat pada malam hari sebagaimana sahur membantu puasa pada siang hari. "

Sebaik-baiknya bangun sebelum gelincir matahari untuk solat Zuhur. Sesungguhnya tidur adalah ibadat yang diberikan pahala jika ia dikerjakan dengan mengikut suruhan agama.

CARA TIDUR YANG SEBAIK-BAIKNYA DIAMALKAN OLEH RASULULLAH S.A.W.
1) Tidurlah di awal malam sesudah menunaikan sembahyang Isyak jam 10.00 atau 11.00 dengan keadaan berwuduk.
2) Bangkitlah di awal separuh kedua malam jam 1.00 atau 2.00,kemudian bersugi, berwuduk dan bersembahyang tahajjud.
3) Kemudian tidurlah semula dan bangkitlah sebelum terbit fajar.
4) Tidurlah dengan mengiringkan badan di sebelah rusuk kanan,rusuk kiri di bahagian atas,supaya tetap kedudukan makanan di dalam usus, cepat hadam makanan.Tidurlah sedemikian dari mula hingga akhirnya.

WAKTU-WAKTU YANG TIDAK DIBENARKAN TIDUR
1) Awal-awal pagi setelah terbit matahari.
2) Selepas masuk waktu Asar.
3) Tidur di bawah cahaya matahari walaupun terkena separuh dari badan.

BAHAYA TIDUR DI SIANG HARI
Dilarang tidur di siang hari di dalam keadaan cuaca yang panas kerana:
1) Mendatangkan penyakit-penyakit kulit.
2) Merosakkan warna kulit.
3) Melemahkan jantung.
4) Menambahkan tekanan perasaan yang meluap.
5) Melemahkan badan dan melemahkan syahwat.
6) Melemahkan kecerdasaan akal.

CARA MENGHINDARKAN LESU SELEPAS BANGKIT DARI TIDUR
1) Bersihkan tubuh,terutamanya bahagian muka,tangan dan kaki sebelum masuk tidur.
2) Hindarkan dari tidur lewat malam.
3) Lakukan gerak badan dan senaman di atas katil setelah jaga dari tidur sebelum turun dari katil.
4) Minumlah segelas air masak setiap pagi sebelum bersarapan tetapi jangan selepas saja bangun dari tidur.
5) Cucilah muka terutama bahagian kelopak mata dengan air suam.
6) Ambil wuduk dan bersembahyang Subuh.