Thursday 20 August 2009

Ada apa denganmu

(saya dan adik-adik kembar, Ati dan Ika.Dah besar rupanya anak2 ayah dengan mama)
Seseorang pernah berkata, nama saya seperti nama puteri raja Moghul. Sejauh mana kebenarannya, saya sendiri tidak tahu. Seumur hidup saya, kurang lima kali rasanya saya terjumpa seseorang yang mempunyai nama seperti saya, namun itu tidak mengapa. Orang berkata ada apa pada nama. Ye, ada apa pada nama. Biarpun begitu nama penting sebenarnya. Allah mempunyai 99 Asma yang indah. Asma Allah mampu menenangkan jiwa dan mempunyai fadhilat besar dalam kehidupan manusia. Juga kita wajib beriman dengan Asma-Nya.
Rasulullah SAW juga bersabda tentang nama
“Kamu akan dipanggil dengan nama kamu dan nama bapa kamu. Jadi berikanlah nama yang baik kepada anak-anak kamu”.(Hadis Riwayat Abu Daud)
ILMU memainkan peranan penting dalam proses penamaan. Dalam zaman ini saya perhatikan ramai ibu bapa tidak peka dengan kepentingan memberikan anak-anak nama yang baik. Tidak perlu sehingga fasih berbahasa arab, tetapi lebih molek rasanya andai ibu bapa tahu makna setiap nama yang diberikan pada anak-anaknya. Cukuplah nama yang pendek yang kedengaran biasa-biasa sahaja tetapi memberi maksud yang baik berbanding nama panjang berjela sehingga habis satu kertas kajang, sedap bunyinya sehingga bergulung lidah mahu menyebut, tempias air liur menitik-nitik saat dieja, tetapi tiada maksud, ataupun lebih malang lagi membawa maksud kurang elok.
Nama yang elok sahaja tidak berguna andai kita tidak berperangai seindah nama. Orang kata indah khabar dari rupa. Jika kita membawa nama, berusahalah menjadikan nama kita seiring dengan perlakuan kita. Nama yang baik, digerakkan oleh orang yang baik-baik juga. Dan walaupun nama yang tidak baik, atau tiada maksud tetapi jika sang pembawanya mahu menjadi baik, dia tetap akan menjadi baik. Allah mempunyai nilaian yang sangat tepat tanpa berat sebelah. Dia tidak menghukum hamba-Nya hanya kerana tidak didaftarkan dengan nama yang membawa maksud indah.
Ada apa denganmu?
Ini soal yang lebih besar dan tidak remeh. Ada apa denganmu tanpa iman yang kukuh dan ketakwaan. Walaupun mempunyai nama yang baik, itu bukan jaminan. Jadi selalulah bermuhasabah diri. Beringat di dunia mana kita berada. Dunia ini milik Allah. Hanya tempat persinggahan. Akhirat nanti yang kekal selamanya.Janganlah biarkan bahtera anda karam di lautan dunia, andai anda sudah diberitahu pulau akhirat itu indah dan membahagiakan.