Tuesday 18 August 2009

Apa sudah jadi? Saya sudah terbiasa dengan produk penambah dosa

Sudah agak lama saya tidak mengemaskini blog ini. Apa sudah jadi? Marilah bertanya kepada Celcom, apa yang sudah terjadi. Saya membayar bil Celcom Broadband RM68 setiap bulan, sudah dibayar sehingga Ogos. Sebenarnya untuk kegunaan adik-adik di rumah, tapi kebetulan saya pulang bercuti dari Dubai, jadi saya yang gunakan. Tiba-tiba malam Isnin minggu lepas saya dapati talian celcom broadband (milik saya) itu tidak dapat digunakan. Saya fikirkan sekejap je, rupa-rupanya seminggu juga. Nak merungut, tak ada siapa nak dengar. Jadi mencarut dalam hati jelah. Dalam seminggu ni, makin bertambahlah dosa-dosa terhimpun. Banyak kerja saya tergendala sebab masalah ini. Termasuk menghantar laporan kepada pejabat di Dubai.
Inilah produk penambah dosa terbaru saya. Talian internet yang bermasalah. Tapi adatlah saya kira. Takkan ada orang yang suci, tak pernah mencarut walaupun dalam hati. Kita manusia biasakan. Tapi sebolehnya, seharusnya dielakkan. Marilah bersama-sama membanteras kegiatan mencarut dalam hati ni. Bermula dalam diri. Satu peringatan untuk diri saya sendiri. Lagipun tak lama lagi dah nak mula bulan puasa. Banyak sangat mencarut dalam hati, berkurang pahala puasa. Rasanya, yang paling pokok adalah MENAHAN KEMARAHAN. Ye, sebab dari kemarahan akan berlakunya gejala memaki hamun dan mencarut, termasuk mencarut dalam hati. Belajar menenangkan hati. Jangan jadikan kemarahan, carut marut, maki hamun satu kebiasaan walaupun sekadar lintasan dalam hati. BERTENANG. BERZIKIR.
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَٮِٕنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِ‌ۗ أَلَا بِذِڪۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَٮِٕنُّ ٱلۡقُلُوبُ (٢٨
“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia.
Ar-ra'ad, 28

Ayat ini sudah biasa saya jumpa, sudah selalu saya dengar. Tapi amatlah payah untuk saya terapkan dalam kehidupan. Bila marah, bukan saya dahulukan dengan mengingati Dia, tapi saya dahulukan dengan mengingati benda lain. Yang tak boleh disebut atau ditaip di sini (maaf). Too explicit contents. Sedangkan Dia sudahpun mengingatkan sejak awal lagi bahawa hati manusia akan tenang seandainya mengingati, apatah lagi menyebut asma-Nya. Subhan Allah. Ini memang benar. Cuba praktikkan dalam kehidupan seharian. Pasti kita akan dapat merasai kesannya.

Harus diingatkan apa sahaja yang membuatkan kita menjadi marah atau hilang sabar itu sebenarnya sebagai satu ujian. Kereta Myvi rosak time bersiap nak pergi kerja, seluar Levi's yang dijemur di ampaian tiba-tiba hilang, kemeja Google's kesayangan rosak terkena baju lain yang turun warna-itu semua ujian, memang mampu menaikkan kemarahan. Memang tidak semua harta kita, barang kesayangan kita mampu memberikan kegembiraan dan kebahagiaan. Bahkan anak-anak juga (harta yang paling bernilai) mampu menjadi ujian, sebagai cubaan pada keimanan.
َٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّمَآ أَمۡوَٲلُڪُمۡ وَأَوۡلَـٰدُكُمۡ فِتۡنَةٌ۬ وَأَنَّ ٱللَّهَ عِندَهُ ۥۤ أَجۡرٌ عَظِيمٌ۬ (٢٨
Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.Al Anfaal, 28
Ini semua mampu menjadi produk penambah dosa andai kita tidak mengguna atau menjaganya dengan berhemah. Kita, sebagai manusia hanya tahu mengharapkan kesempurnaan dari aset yang kita miliki, dan jarang atau mungkin tidak pernah terfikir pun bahawa tidak ada sesuatu yang selalu dan sentiasa sempurna hasilnya. Segalanya punya kelemahan walaupun kita telah berhabis wang ringgit, masa dan tenaga untuk menambah baik dan menjadikannya sempurna. Dan bila sesuatu yang diharapkan tidak menjadi kenyataan,hasilnya tidak sesempurna yang diidamkan mulalah kita merungut, mencaci maki, mencarut marut serta menyalahkan takdir dan menuding jari mencari orang lain yang boleh dipertanggungjawab dan dipersalahkan. Nah, di sinilah ujiannya. Di sinilah salah satu point di mana harta, aset yang kita miliki mampu menjadi produk penambah dosa. Dan kita memang tidak dapat lari daripadanya. Hidup kita memang selalu dikelilingi produk-produk penambah dosa ini. Cuma bagaimana cara kita menguruskannya menjadi kayu pengukur tahap rasionaliti kita, dan juga memberi cerminan betapa kita ini mampu redha dengan setiap ketentuan-Nya.
Untuk diri saya sendiri. Semoga tenang selalu menghadapi kehidupan seharian yang kadang-kadang memang akan membangkitkan kemarahan. Sebelum menyeru orang lain, kita kena menyeru diri kita sendiri dulukan.