Wednesday 5 August 2009

membazir: jangan lampi dan jangan pentingkan diri sendiri


Saya baru pulang daripada satu uji pandu untuk Merdeka Endurance di Sepang F1 Circuit. Jadi selama berada di sana, telinga saya sangat bingit dengan bunyi kereta yang hampir selaju kapal terbang mungkin. Saya sendiri pun tak tau (maaf saya jurutera biokimia, bukan jurutera automotif). Dan saya ke sana kerana mengikuti Ikram yang menjalankan tugasnya sebagai seorang jurutera fizikal untuk pasukan Petronas. Jadi pelbagai perangai pelik yang dapat dilihat. Saya melihatnya sebagai satu bentuk pemberontakan cara baru mungkin. Melepaskan geram di litar lumba.

Satu peringatan untuk diri saya sendiri, semua yang saya lihat adalah satu pembaziran semata-mata. Bayangkan kereta yang diguna, dari jenis kereta-kereta kelas satu. Petronas sendiri (Ikram bekerja dalam team ini) walaupun bukan untuk team Sauber-nya menggunakan kereta BMW entah series apa (saya sendiri tidak tahu)yang harganya mencecah jutaan ringgit. Tayar-tayar yang diguna cepat haus, dan perlu diganti hampir kurang setengah jam sekali (biasanya tempoh perlumbaan sehingga 24 jam tanpa henti). Jadi ini semua adalah pembaziran. Ramai lagi orang di luar sana yang tidak mampu memiliki kereta, malahan berbasikal atau hanya menaiki bas sesak tanpa penghawa dingin, terpaksa berebut-rebut dengan Bangla dan buruh Indonesia yang memang tidak suka beratur dan tidak tertib serta tidak menghormati orang lain.

Tetapi siapakah saya untuk menilai yang lebih-lebih. Dan pada segi penafian, saya memang tiada alibi bahawa saya ini orang yang benci kepada pembaziran. Bahkan terlalu malu untuk saya katakan hakikatnya saya ini adalah sejenis makhluk alam yang suka kepada pembaziran. Contohnya saya pernah membeli 4 pasang kasut pada suatu hari yang sama, kerana tidak berpuas hati dengan kasut-kasut yang telah dibeli. Tetapi boleh dibilang berapa kali saya memakai kasut-kasut tersebut, selebihnya hanya saya biarkan terperuk di bawah katil. Dari segi keinsafan, memang selalu ada. Menonton sahaja rancangan Bersamamu, terus terdetik sedar dalam hati. Ramai orang susah di luar sana yang punya soal lebih berat daripada membeli kasut, pakaian cantik dan handphone canggih. Mereka bergelut dengan soal tiada beras untuk mengisi perut anak-anak, dan juga tiada wang untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Tapi soalnya entah berapa minit sahaja rasa sedar dan insaf itu boleh bertahan. Selepas daripada itu jika keluar sahaja membeli belah, pasti saya akan meletakkan diri saya sebagai seorang yang sangat selalu mengamalkan perangai syaitan, iaitu MEMBAZIR.

Dalam bingit test drive itu, saya juga teringat suatu hari, ketika memandu pulang dari tempat kerja (sewaktu bertugas di Petronas Penapisan, Melaka), saya pernah melihat satu pasangan Melayu, bermotosikal Honda Cup C-70 warna biru, membawa dua anak yang masih sangat kecil (salah seorangnya masih bayi, yang masih berbedung) meredah perjalanan dalam hujan. Hati saya sangat pilu waktu itu, sehingga saya menitiskan air mata. Dalam pada ramai orang suka membazir dengan perkara-perkara tidak berfaedah, sebenarnya masih ramai insan yang sangat susah. Entah mungkin pasangan suami isteri itu membawa anak-anak mereka ke klinik, atau membeli pampers, atau mungkin juga pergi membeli lauk. Lalu anak-anak mereka dibawa bersama kerana tiada siapa untuk menjaganya di rumah. Dan dalam perjalanan pulang, hujan turun dengan lebat. Untuk berhenti, tiada tempat, lalu si bapa nekad meneruskan perjalanan sambil tangannya menutup wajah anak yang lebih tua dengan tangannya untuk mengelak sakit terkena rempuhan air hujan dan si ibu pula sedaya upaya melindungi bayinya yang masih dalam bedungan. Entahlah, itu hanya telahan saya sahaja. Tetapi saya rasa mungkin ada benarnya (mungkin tidak pada tujuan mereka sekeluarga keluar dengan menaiki motosikal, tetapi pada sebab si ayah tidak berhenti untuk berteduh daripada hujan, lalu meneruskan perjalanan dalam hujan), jika tidak masakan si bapa sanggup membiarkan anak-anaknya kebasahan di timpa hujan. Sehingga hari ini saya sangat sedih mengenangkan peristiwa itu, dan terasa amat terkilan kerana saya tidak mengambil masa untuk berhenti dan memberi tumpang kepada si ibu dan anak-anaknya. Sungguh saya sangat terkilan. Jika masa dapat diundur saya ingin sekali berhenti dan memberi tumpang kepada mereka.

Lalu saya mengaitkan ini dengan sikap mementingkan diri sendiri yang ada dalam diri saya waktu itu (dan sekarang juga). Juga keterlambatan saya untuk membuat keputusan dan sikap saya yang memang selalu sedikit lampi (lambat pikap) dalam menilai sesuatu situasi. Saya andaikan jika saya cepat membuat keputusan untuk menumpangkan si ibu dan anak-anaknya, pasti mereka akan dapat saya tumpangkan sehingga sampai ke destinasi. Tetapi malangnya saya hanya berkata "Kesiannya",di dalam hati, tetapi sangat lambat untuk berfikir bahawa saya perlu menumpangkan mereka. Dan idea itu hanya muncul ketika mereka sudah hilang daripada pandangan, mungkin sudah memasuki mana-mana simpang ataupun telah tertinggal di belakang ketika saya sangat berhati-hati dalam pemanduan saya.

Jadi saya sangat menyesal dengan keterlambatan saya berbuat keputusan. Mengapa perlu bertangguh untuk membantu. Jika hari ini kita memudahkan urusan orang lain, suatu hari yang lain, orang pula akan memudahkan urusan kita.
Hanya Allah yang tahu.