Monday 24 August 2009

Apa khabarkah engkau wahai dakwah?


Saya tidak terkejut apabila baru-baru ini seseorang yang saya kenal berkata kepada saya, semenjak bernikah dia rasakan perjuangan dakwahnya semakin tenggelam timbul. Maksudnya di sini adalah perbandingan kegiatan dakwahnya semasa menuntut di UKM dengan dakwahnya sekarang. Jika dahulu blognya terisi dengan pelbagai bahan dakwah yang menarik, setiap hari dikemaskini, hari ini saya lihat blognya seakan-akan bersawang. Saya tidak berani menegur, bimbang dia berkecil hati. Tetapi kelmarin, apabila dia sendiri mengaku, saya hanya tersenyum. Masakan saya boleh memberi pendapat dalam keadaan saya sendiri belum pernah merasai bagaimanakah yang dikatakan alam pernikahan itu, apa yang menyebabkan masa berdakwah sahabat saya ini berkurangan.

Tapi saya tidak menyalahkan dia. Jauh sekali menyalahkan pernikahan sebagai punca pelestarian dakwah itu menjadi sedikit lembap. Bahkan pada saya perkahwinan seharusnya memantapkan lagi mekanisme dakwah. Semasa masih solo, segalanya dilakukan sendiri, bila sudah bersuami atau beristeri, ada orang untuk berkongsi pandangan, untuk membantu berfikir, menyokong fikrah dan meluah rasa. Bukankah berdua lebih baik?

Saya rasakan, itu semua asam garam dalam kehidupan. Apabila mendapat sesuatu yang baru, yang lama akan sedikit terabai. Lagi pula zaman universiti tidak sama dengan zaman bekerja, bekeluarga. Saya ini pun terkejar-kejar juga untuk menyiapkan segala tugasan biarpun masih bujang. Bahkan berdakwah kepada diri sendiri juga amat sukar saya rasakan. Mendidik diri menjauhi mungkar juga amat berat bagi saya,masakan untuk mengajak orang lain menghala kepada kebaikan. Tetapi saya berdoa, semoga Allah mempermudahkan segala urusan yang dimulakan dengan menyebut nama-Nya.

Sedikit untuk renungan, dan peringatan kepada diri saya sendiri serta sahabat-sahabat dai'e semua. Saya mendapatkan ini semasa menghadiri usrah dengan rakan-rakan dari Malaysia juga, beberapa hari sesudah mendaftar diri untuk pengajian peringkat sarjana di Queen's University UK. Sudah lama saya perapkan di dalam beg pakaian, baru-baru ini untungnya saya terjumpa semula handout dakwah ini sewaktu mengemas.
Dakwah itu panjang
Lestarinya berat
Jalannya payah
Tapi hakikatnya indah

Dakwah itu bukan serius
Tidak sehingga misai dan janggut melentik menjadi penghalang
Bukan juga lantaran niqob yang menutupi wajah engkau harus diam

Tetapi dakwah itu kebaikan yang engkau serlahkan
Apa jua cara, biarpun tanpa suara

Dakwah itu bukan berlawak sehingga ketawa nampak gusi
Gelak berdekah-dekah untuk mengambil hati
Akhirnya maksud tidak sampai 
Yang keluar hanya kata-kata tanpa isi
Membazir masa dan kurang thiqoh 
Sehingga orang pun malas mahu ambil peduli

Tapi dakwah itu kebaikan yang engkau kerjakan
Kemungkaran yang engkau elakkan

Dakwah itu tidak hanya ceramah
Bukan hanya melafaz firman Tuhan
Tidak hanya sekadar menitipkan sabda junjungan
Tetapi hakikat yang lebih besar menanti di hadapan
Sejauh mana engkau mengamalkan apa yang engkau serukan kepada insan

Wahai dai'e
Wahai kawan
Selagi hidup usahalah agar dakwah itu menjadi teman
Ambillah seberapa banyak derap perjuangan ikhlas kerana Tuhan

Dakwah itu adalah dirimu
Dirimu itu adalah dakwah
Pastikan selagi engkau bernafas
Ia tidak akan terpisah
Selagi kita ini orang Islam yang mahukan kebaikan dunia akhirat, maka sangat patutlah menilai diri kita, sejauh mana baik kita mampu membaikkan orang di sekeliling. Tidak perlu berhujah atau berceramah, cukup perbuatan baik kita mampu menitikkan sedar dalam hati insan lain. Tapi yang paling penting adalah kepada diri sendiri. Jauh mana agaknya kita dapat menyeru orang berbuat baik andai diri sendiri tidak faham erti makruf, tidak malu berbuat mungkar.
Bukankah menyeru kebaikan dan mencegah kemungkaran itu tugas setiap orang mukmin.