Thursday 6 August 2009

apa salahnya menjadi syadid


Awal-awal pagi tadi saya menerima sms daripada seorang sahabat semasa di UKM, katanya "Ya ukhti, Bukan Syadid sudah di pasarankah? Kenapa pilih judul sesyadid itu? Jadi saya tidak dapat menjawabnya dengan tepat. Syadid pada saya adalah dalam konteks yang terlalu berbeza bagi setiap individu.

Syadid pada saya adalah sejenis sikap dizahirkan dengan perbuatan dan kata-kata. Sebab itu saya memilih judul itu untuk buku terbaru saya dan juga untuk blog ini. Padahal sebenarnya tiada kaitan langsung antara kedua-duanya.
Saya pernah berhadapan dengan beberapa rakan semasa menuntut di UKM yang melabelkan saya sebagai syadid hanya kerana saya memilih untuk solat Asar sewaktu jam sudah pun merangkak ke angka 5 petang. Kata mereka, saya syadid kerana ingin segera solat.
Bagi saya itu bukan syadid. Tiada apa yang sepatutnya boleh menghalang kita menunaikan solat, apatah lagi sekadar suka-suka berhibur di Times Square. Solat itu tiang agama, solat itu kewajipan atas setiap hamba yang mengaku dirinya Islam. Mana lebih penting, membeli belah menghabiskan wang di Times Square atau solat. Pastinya, dan seharusnya saya atau sesiapa sahaja memilih solat. Ini bukan soal syadid, tapi soal kewajipan. Untuk itu tidak harus dilabel syadid jika memilih untuk mendahulukan kewajipan dan tuntutan.
Saya kira lebih besar soalnya apabila memikirkan kita ini, semuanya milik Allah. Masa kita juga adalah milik Allah. Bahkan masa untuk berpeleseran, berjalan-jalan di Times Square, itu juga milik Allah. Apa salahnya 15 minit daripada sekian banyak masa yang dipinjamkan oleh Allah kepada kita itu kita gunakan untuk berwudhuk, menghadapkan diri, rukuk, sujud kepada-Nya. Sudahlah kita meminjam daripada-Nya, kemudian angkuh pula untuk meluangkan sedikit masa buat-Nya. Cuba bayangkan kalau rakan anda meminjam pen anda, kemudian lambat dipulangkan, bila diminta, buat tak tahu, cakap nak guna, buat muka seposen...Siapa tak bengkek kan. Anda pun akan jadi syadid juga, silap langkah rakan anda itu akan menerima sehelai penampar Jepun di pipinya.
Jadi perkara syadid itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, dalam apa soal sekalipun. Bukan sekadar dalam soal beragama. Bahkan dari perspektif bahawa syadid itu sangat luas pengertiannya.

Bertudung + purdah itu syadidkah?
Suatu masa, saya pernah menerima satu sindiran tajam daripada teman sepejabat. Waktu itu saya sudahpun berkhidmat sebagai jurutera di company yang menawarkan pendapatan termahal di Dubai ini. Kata teman dari Perancis itu "Malay woman always come with the package of beautiful. Why don't you used your beautiful to be a part of us. Come on, don't hide your face behind that cloth".
Apakah maksud lelaki perancis itu, hanya dengan mengeksploitasi rupa paras, maka saya akan diterima menjadi sebahagian daripada mereka? Sungguh dia sangat silap dengan beranggapan begitu. Saya pun langsung tak teringin untuk menjadi sebahagian daripada makhluk alam seperti mereka. Makhluk alam yang melepak di kelab malam, bertukar-tukar pasangan dan memandu dalam keadaan mabuk. Makhluk alam yang meraikan kejayaan projek dengan meneguk air kencing syaitan. Siapa mahu? Ingat saya teringin sangatkah. Baik duduk rumah, tengok cerita kartun.
Jadi saya menjawab pertanyaan jurutera perancis yang memang selalu biadap itu dengan meninggalkan bilik perbincangan kami. Menjadi seorang jurutera muslimah tidak bermaksud saya lemah dan harus membiarkan mereka membuat permintaan tidak munasabah itu. Sudah diberi melihat mata, mahu turun ke bibir pula. Ini juga bukan soal syadid bagi saya. Saya berpurdah semenjak bekerja di Dubai, menghadapi warga Arab yang terkenal dengan tingkahnya yang meminati wanita Asia serta orang kulit putih yang tidak kurang mencabarnya. Jadi tingkah laku mereka boleh dikatakan 80% kurang sopan dan tidak beridentiti melindungi serta menghormati wanita. Jadi pendekatan berpurdah lebih selamat saya kira.
Jadi saya kira tiada salahnya menjadi syadid untuk sesetengah perkara yang kita rasa patut. Biarlah manusia lain melabelnya sebagai apa pun. Yang penting kita sudah melakukan sebaik yang termampu dan terlarat oleh kita.
Nilaian Allah lebih utama daripada nilaian manusia.
KERANA Allah lebih tahu segala-galanya.