Friday 21 August 2009

Bukan suka-suka

  

Ini anak buah saya, Najwa.

Walimah anak jiran saya baru-baru ini ramai jiran (makcik-makcik) bertanya, saya mendukung anak buah ke hulu ke hilir, bila pula giliran saya. Jawab saya, bukan belum bersedia, insya Allah kelak akan tiba masanya.

Tapi ini bukan soal utama. Saya pernah membaca ungkapan sebegini, "Anak-anak cahaya mata,anak soleh impian semua, pabila kita sudah tiada jadi penerang alam baqa".

Tapi anak yang bagaimana mampu menjadi penerang alam baqa itu?

Sudah pasti anak-anak yang mendoakan kesejahteraan ayah dan ibunya di sana. Rasulullah menyifatkan mereka sebagai anak yang soleh. Jika anak itu sendiri tidak ingat pada ayah dan ibunya di alam yang satu lagi itu,solatnya sendiri tunggang langgang, jangankan membaca yassin, al fatihah di dalam solat pun jarang-jarang bagaimana dia mampu menjadi penerang dan meringankan azab kubur buat ayah dan ibunya.

Ini berdasarkan kepada hadis Rasulullah SAW daripada Abu Hurairah RA yang bermaksud : 

“Apabila mati seseorang insan, maka akan terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan daripadanya dan doa dari anaknya yang soleh.”
(Riwayat Muslim).

Sesungguhnya doa seorang anak yang soleh kepada arwah ibu bapanya yang telah meninggal dunia adalah satu amalan yang boleh menjadi penyambung pahala mereka di alam barzakh.

Tetapi ini tidak sahaja bergantung kepada kesedaran si anak semata-mata. Jika tidak dimulai oleh ibu bapa untuk mendidik anak-anaknya. Kata orang Melayu, "Jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya".

Jika tidak anak itu dididik dengan sempurna, ilmu agama yang mencukupi, manakan datang sedarnya untuk bertindak sebagai seorang yang beragama. Manakan datang insafnya untuk menuruti sunnah nabi.

Jadi apabila seseorang itu berkata "Ya, saya sudah bersedia untuk bernikah", maka dia juga harus bersedia menimang cahaya mata, apabila sudah menimang cahaya mata, maka harus memikirkan pula pendidikan anak-anaknya. Tidak sekadar pendidikan duniawi sehingga berjaya menjadi doktor dan jurutera, tetapi juga pendidikan ukhrawi supaya anak itu dapat membesar menjadi insan yang seimbang hidupnya.

Harus diingat pernikahan tidak sekadar untuk kepentingan diri sendiri. Tidak sekadar supaya tidur malamnya berteman dengan orang yang dikasihi. Banyak perkara lain akan menyusul kemudian nanti. Salah satunya soal pendidikan anak-anak ini.


Saya juga teringat tentang ini,
يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُواْ رَبَّكُمۡ وَٱخۡشَوۡاْ يَوۡمً۬ا لَّا يَجۡزِى وَالِدٌ عَن وَلَدِهِۦ وَلَا مَوۡلُودٌ هُوَ جَازٍ عَن وَالِدِهِۦ شَيۡـًٔا‌ۚ إِنَّ وَعۡدَ ٱللَّهِ حَقٌّ۬‌ۖ فَلَا تَغُرَّنَّڪُمُ ٱلۡحَيَوٰةُ ٱلدُّنۡيَا وَلَا يَغُرَّنَّڪُم بِٱللَّهِ ٱلۡغَرُورُ (٣٣

Wahai sekalian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari (akhirat) yang padanya seseorang ibu atau bapa tidak dapat melepaskan anaknya dari azab dosanya, dan seorang anak pula tidak dapat melepaskan ibu atau bapanya dari azab dosa masing-masing sedikit pun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan jangan pula kamu diperdayakan oleh bisikan dan ajakan syaitan yang menyebabkan kamu berani melanggar perintah Allah.
Luqman, 33
  

Jadi pilihan di tangan kita sendiri. Mahu jadi baik atau sebaliknya. Mahu selamat dunia akhirat atau sekadar di dunia. Mahu hidup yang bagaimana, mahu beri pendidikan apa pada anak-anak kita. Peringatan untuk diri saya sendiri dan orang-orang bujang lain juga. Persiapkan diri dengan segala pemikiran, pengetahuan dan tindakan yang sewajarnya tentang langkah-langkah menuju alam pernikahan dan menimang cahaya mata. Ingat kahwin itu bukan sekadar untuk suka-suka.