Tuesday 10 November 2009

Bukti kurang soleh?


Kebanyakan post di dalam bukansyadid ini tidak berbentuk artikel ilmiah. Tetapi lebih kepada penceritaan daripada pengalaman (experience based narration) saya sepanjang hidup hampir 23 tahun ini dan juga pengalaman orang-orang di sekeliling saya. Jadi saya minta maaf andai ada yang berpendapat bukansyadid ini kurang ilmiah. Sesungguhnya yang baik itu daripada Allah, yang terkurang itu daripada diri saya sendirilah jua.

Saya mungkin terlambat mengetahui beberapa hal yang berlaku di negara sendiri. Beberapa hal itu, rasanya tidak perlu saya sebutkan di sini. Umum sudah mengetahui berita-berita yang tersebar di muka depan kebanyakan akhbar-akhbar harian tanah air.Inilah adat kehidupan, ada turun naiknya.

Saya ingin mengaitkan serba sedikit apa yang berlaku kepada seorang sahabat yang lebih tua 2 tahun daripada saya dengan kesimpulan daripada pengamatan saya tentang etika sesetengah 'lelaki soleh' yang ada di seantero dunia ini.

Kawan saya bercerita, ada seorang lelaki yang nampaknya sangat wara'. Dia berusaha mendekati seorang gadis yang dirasakan sealiran pemikiran dengannya. Melalui perantaraan orang tengah yang telah pun mendirikan rumah tangga, si lelaki memberi harapan akan bernikah dengan si gadis. Tetapi malangnya, setelah beberapa ketika, si lelaki menarik diri dengan alasan gadis itu yang kelihatan terlalu solehah dan keterlaluan dalam beragama membawa tafsiran syadid kepada keluarga si lelaki (macam ni punya orang pun ada ke?). Mereka mahukan gadis yang biasa-biasa sahaja untuk bernikah dengan si lelaki. Senang cerita, ibu si lelaki kurang bersetuju jika bermenantukan gadis itu.

Jadi setelah si lelaki menarik diri, si gadis juga membawa diri. Memandang kebahagiaan si lelaki yang sudahpun bertemu pengganti iaitu sahabat gadis itu sendiri. Tetapi si gadis redha dengan apa yang berlaku. Mereka sama-sama orang baik, jadi mereka saling tidak menyimpan dendam. Dipendekkan cerita si lelaki pun bernikah dengan gadis lain yang juga sahabat si gadis tadi.

Masa berlalu. Hampir 2 bulan si lelaki bernikah. Disangkakan dia sudah bertemu kebahagiaan dalam hidupnya. Rupa-rupanya si lelaki mulai beralih pada sisi baru di dalam hidupnya.

Lelaki itu kembali mengharap untuk menikahi gadis yang pernah direjectnya dahulu. Alasannya isteri yang baru 2 bulan dinikahi KURANG SOLEHAH. Jadi dia pun mulai memberi harapan akan menikahi gadis tersebut. Gadis yang dahulu dikatakan terlalu keterlaluan dalam beragama itu memang berharap akan dinikahi si lelaki mulai cair dan kembali jatuh hati. Keputusan masih belum dibuat. Tetapi mereka saling berharap antara satu sama lain.

Persoalan saya di sini, kepada si lelaki, DI MANA SOLEHMU?

Dia mengharap seorang isteri solehah, tetapi tindakannya memberi perlambangan dia sendiri kurang soleh. Apa kata 2 bulan yang sesudah bernikah itu, jika dia tidak gunakan untuk memujuk rayu gadis yang dahulu pernah direjectnya tetapi kini mahu dijadikan isteri keduanya itu, tetapi 2 bulan itu digunakan untuk men'SOLEHAH'kan isterinya yang sedia ada. Memang berpoligami itu sunnah Rasululullah, tetapi mendidik isteri menjadi solehah juga adalah sunnah Rasululullah. Lupakah si lelaki bagaimana Rasulullah mendidik Aisyah R.A sehingga Ummul Mukminin itu menjadi solehah dan cerdas. Rasanya ada baiknya jika si lelaki menyempurnakan apa yang ada di hadapan mata berbanding mengejar yang tidak pasti. Ada baiknya jika dia men'SOLEHAH'kan isterinya yang sudah dua bulan dikahwini berbanding memujuk rayu muslimah lain supaya sudi menjadi isteri SOLEHAH untuk dirinya.

Saya menegaskan, saya sekali-kali tidak menolak poligami. Poligami adalah dibenarkan di dalam Islam. Menolaknya bererti menolak hukum. Tetapi saya rasa bagi kes sahabat saya ini, lelaki itu wajar melihat lebih jauh ke dalam diri. Bagaimana mahu bernikah lebih daripada satu, jika yang satu yang sudah ada itupun tidak mampu dididik. Dalam usia pernikahan yang baru 2 bulan, tidak wajar rasanya dia mengharapkan isterinya menjadi solehah dan sempurna dengan sendiri. Sebaliknya dialah yang sepatutnya memainkan peranan mendidik dan memberi bimbingan kepada si isteri. Wanita itu umpama tulang rusuk yang bengkok, jadi lelakilah yang perlu berhati-hati meluruskannya. Jangan sampai patah, jangan sampai tidak terlurus langsung.

Jika si gadis menerima si lelaki, saya membayangkan perkara yang sama kelak akan berlaku. Jika didapatinya si isteri yang kedua pula kurang solehah, maka dia akan menikahi gadis yang dirasakan lebih solehah buat kali ketiga pula. Tanpa dia berusaha mendidik isteri- isterinya menjadi solehah.

Sebenarnya apa kriteria soleh dan solehah yang dimahukan itu? Tepuk dada tanyalah iman.
Jadi di mana solehmu jika benar mahukan yang solehah...