Wednesday 18 November 2009

Lapar, bingung, resah > Allah sentiasa bersama

Orang kata, bila ada masalah, jumpalah dan pandanglah orang-orang yang kita sayangi. Insya Allah segala permasalahan akan terungkai. Segala derita akan terlerai (biarpun masalah tetap tak selesai, tapi dapat ringankan sikit pun alhamdulillah). Jadi hari ni, masalah saya adalah kelaparan. Jadi saya mahu pandang gambar (kerana jarak yang membataskan saya daripada menemui mereka secara terus, tengok gambar pun jadilah) orang-orang yang saya sayangi ini sepuas hati supaya dapat ringankan masalah kelaparan saya ini.
Ayah dan mama
Adik saya, Ati dengan sayalah

Adik saya lagi, Ika dengan saya juga (jangan keliru Ati dan Ika di dalam gambar di atas adalah dua individu yang berbeza tetapi serupa kerana kembar) 
Anak buah saya, Najwa Ar-Rumaisaa'

Petang semalam selepas menghadiri mesyuarat saya berjumpa dengan seorang lagi pelajar Malaysia di luar bangunan hotel tempat persidangan yang sedang saya sertai berlangsung. Pada mulanya pelajar ini menyangka saya adalah seorang wanita berketurunan Arab, tetapi apabila saya menyapanya dalam bahasa Melayu untuk bertanya arah jalan, dia kelihatan sangat gembira dan teruja sehingga berulangkali bertanya kembali, "Are you really Malaysian?Not Arabian?Boleh cakap Melayu?" Sehingga saya terpaksa mengiyakan beberapa kali. Memandangkan kelonggaran yang diberi syariat, maka pelajar lelaki yang menuntut dalam bidang perubatan ini menawarkan untuk menghantar saya sehingga ke Pejabat Kedutaan Malaysia di Moscow ini dengan cara berjalan kaki.

Dalam perjalanan, beliau sempat menanyakan saya beberapa soalan. Antaranya masalah pemakanan dan cuaca. Saya menceritakan serba sedikit tentang kedai makanan halal yang telah ditunjukkan kepada saya pada hari pertama menjejak kaki ke bumi Russia ini. Pelajar itu bersetuju supaya saya membeli makanan dari kedai milik rakyat keturunan Pakistan seperti yang diceritakan itu. Tetapi beliau sempat berpesan, "Kak kena berhati-hati membeli makanan di sini. Memang yang dikatakan halal itu memang benar ayam, bukan b**i, tetapi kita tidak tahu cara penyembelihannya bagaimana". Saya mengangguk. Ada benarnya.

Pagi tadi semasa mahu membeli makanan, saya dapati kedai makanan halal milik lelaki berketurunan Pakistan itu ditutup. Saya cuba mencari-cari kalau-kalau ada kedai makanan halal lain. Tapi malangnya gagal saya temui. Mungkin ada, tidak mungkin di Moscow ini cuma ada satu itu sahaja kedai makanan halal, tetapi saya yang mungkin sedikit kurang peka sehingga gagal menemuinya. Untuk bertanya, serasanya masih awal lagi. Sementelah orang di sekeliling saya semuanya sedang sibuk dengan persidangan yang sedang berlangsung ini.

Saya sedang lapar. Bila saya lapar, saya akan menjadi sedikit bingung dan resah. Tapi saya yakin Allah sentiasa bersama. Dia tidak akan memikulkan hamba-Nya dengan dugaan yang tidak terlarat untuk dipikul. Maka saya tahu, Allah sudah merangka ujian ini buat saya dan Dia tahu bahawa saya larat untuk memikul ujian kelaparan ini. Allah itu Maha Adil, Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana.
Sehingga entry ini ditaip, saya masih berada di dalam dewan persidangan, dalam keadaan sangat kelaparan dan kesejukan. Cuaca di luar menghampiri 3degree celcius dan sekarang sudah pun hampir jam 4.45 petang waktu Moscow.

*Oh, lupa. Pelajar perubatan yang menggelarkan saya kakak itu akhirnya tersipu-sipu malu apabila menanyakan usia saya, kerana saya sebenarnya lebih muda hampir tiga tahun daripada beliau :p. Tapi tidak mengapa. Saya tidak kisah. Panggillah apa sahaja, nenek pun saya tidak kisah. Asalkan tidak mengejek dan tidak lari daripada norma kesopanan.