Friday 20 November 2009

Pendidikan Al Quran : Bila lagi?


Semalam, saya disapa oleh seorang jurutera dari UK. Aismet, berusia dalam lingkungan 30-an. Berasal daripada Bosnia Herzegovina sebenarnya, tetapi sudah lama tinggal di UK, berhijrah ketika perang pada tahun 1993. Kerana cara hidup keluarganya di negara tersebut, maka lelaki ini telah lama meninggalkan Al Quran, dan serasanya sudah tidak mahir lagi membacanya. Mungkin merangkak-rangkak. Dia mahu kembali mempelajari Al Quran. Setelah lebih sedekad tidak membuka kitab suci umat Islam ini. Jadi saya cadangkan beliau kembali memulakannya dari awal. Belajar membaca dan memahami Al Quran. Al Quran itu petunjuk sepanjang zaman. Tanpa Al Quran, akan gelaplah kehidupan walaupun punya pencapaian dan kemajuan.

Saya teringat ketika masih berusia 4 tahun, seorang jiran melabelkan ayah sebagai keterlaluan kerana telah memasukkan saya ke kelas tahfiz. Pada waktu itu, kata jiran saya, belajar bidang agama tidak akan membawa ke mana. Jadilah doktor atau guru atau jurutera. Kerjaya terjamin, masa depan cerah, kelak banyak wang. Ayah senyap sahaja. Kata ayah pula kepada saya,kakak-kakak dan abang, ayah tidak menghalang kami mahu menjadi apa. Jadilah apa sahaja yang kami mahu, doktor, jurutera, guru, arkitek. Asalkan ilmu Al Quran tidak kami lupakan. Dan menjadi tanggungjawab ayah untuk membekalkan kami dengan ilmu Al Quran ini. Waktu itu saya yang masih belum mengerti apa-apa hanya mengikut. Pagi pergi sekolah tadika (saya memasuki tadika pada usia 4 tahun, dan memasuki darjah 1 pada usia 5 tahun) , petang pergi kelas tahfiz, sehinggalah saya tamat hafazan 30 juzuk Al Quran beberapa tahun kemudian.

Kini setelah usia meningkat dewasa, barulah saya mengerti untuk apa ayah mahu saya dan adik beradik lain celik Al Quran. Tidak mengapa andai tidak menghafaznya, cukuplah sekadar tahu membacanya serta menghayati pengajaran dan segala apa yang diajarkan Al Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian. Saya perhatikan ramai rakan dan kenalan yang memegang jawatan profesional, tapi tidak hidup berlandaskan Al Quran. Ramai yang keluar daripada universiti tekemuka di barat, tetapi pulang ke Malaysia, hidup mereka semakin kurang etika. Bukan mahu mengatakan hidup yang saya jalani ini sangat sempurna, tetapi jika ada yang masih belum berkahwin sudah tinggal serumah lelaki dan perempuan, dan ada pula yang berkasih-kasihan sesama lelaki, ada yang lain berani menyimpan kekasih yang masih bersekolah, hujung minggu bertemu di hotel mewah sedangkan diri sendiri sudah beristeri -tidak salahkah itu?

Ilmu yang baik, ditimba adalah untuk diamalkan. Ilmu yang diamalkan pula perlu diiringi dengan kesedaran untuk digunakan pada jalan yang memberi manfaat, tidak kiralah ilmu agama mahupun dunia. Pelajarilah Al Quran kerana Al Quran merupakan ilmu yang memberi manfaat sepanjang zaman.

Pernahkah anda terfikir, di saat orang lain sudah tidak peduli dan menganggap sesuatu ciptaan sebagai sudah ketinggalan zaman, di saat kitab-kitab agama lain melalui pelbagai pembaharuan yang diada-adakan, Al Quran tetap relevan dan kukuh sepanjang zaman tanpa ada sesiapa dapat mengubah-ubah mahupun mengadakan yang lebih baik daripadanya. Ini buktinya kitab Al Quran itu diturunkan Allah cukup sempurna sebagai panduan buat umat manusia dan sebagai bukti kekuasaan-Nya. Rugilah kepada sesiapa yang mengabaikan pendidikan Al Quran, baik kepada diri sendiri mahupun kepada anak-anak.

Bila lagi mahu belajar Al Quran? Mahu tunggu tua, gigi tinggal dua, badan sudah bongkok tiga, baru mahu merangkak-rangkak membaca alif ba ta. Baru mahu cari guru agama minta ajar mengaji? Inilah masanya. Biar sedikit terlambat tetapi masih ada peluang. Didiklah anak anda dengan Al Quran sedari usia kecil mereka. Jangan sampai di alam barzakh nanti, terbit penyesalan. Anak yang dihantar ke sekolah, bijak belajar sehingga jadi doktor dan jurutera tetapi terlupa untuk dididik dengan Al Quran sehingga mereka tidak bersedekah doa mahupun fatihah buat arwah ibu bapa di alam barzakh sana.