Thursday 19 November 2009

Putih atau kuning?Di sisi Allah sama sahaja

Kisah 1 :
Satu tengah hari, sewaktu masih bekerja di Malaysia (semasa baru-baru bekerja setelah menamatkan pengajian sarjana muda kejuruteraan di UKM) saya pergi melawat satu tapak projek pembinaan yang terletak di Selayang. Pada hari tersebut, saya telah diberitahu oleh seorang kenalan senior yang turut melawat tapak projek pembinaan tersebut, bahawa sebagai seorang jurutera yang memakai topi keselamatan berwarna putih, jangan sesekali memberi muka kepada mereka-mereka yang memakai topi keselamatan berwarna kuning di tapak pembinaan tersebut. Saya yang pada waktu itu masih 'hijau' dalam arena kejuruteraan ini, sementelah bidang pembinaan memang bukan bidang saya menganggap perbezaan topi keselamatan kuning dan putih mungkin atas dasar keselamatan. Saya hanya berdiam dan mengangguk mengiyakan.

Kisah 2 :
Setelah bekerja di Dubai bersama British Petroleum, satu hari (beberapa minggu lalu) sewaktu melawat tapak pembinaan juga, seorang jurutera Perancis menegur saya. Ini dialog yang berlaku antara kami berdua.

Jurutera Perancis : Mademoiselle, vous ne devez pas porter ce casque de sécurité. (Cik, kamu tidak sepatutnya pakai topi keselamatan ini.)

Farahdina : Pourquoi? (Kenapa?)

Jurutera Perancis : Il est jaune. Jaune pour le travail. Vous êtes un ingénieur. Vous devez utiliser le blanc.(Ia kuning. Kuning adalah untuk buruh. Kamu seorang jurutera. Kamu mesti pakai yang putih.)

Farahdina : Est-il si? Je n'ai aucune idée à ce sujet. Mais peu importe. J'aime vraiment cette couleur. (Macam tu ke? Saya tak tahu. Tapi tak mengapa. Saya suka warna ni.)

Jurutera Perancis : N manquer. Yo faut le changer.(Tidak cik, kamu perlu menukarnya.)

Farahdina : Non, même ce que je porte, je fais toujours mon travail. Rien de différent. (Tidak,biarpun saya pakai yang ini, saya tetapi boleh lakukan tugas saya. Tiada apa bezanya.)

-Saya tetap berkeras hati, dan jurutera Perancis pun berlalu pergi. Sebenarnya waktu itu saya tertinggalkan topi keselamatan saya di rumah. Topi keselamatan kuning tersebut saya ambil di pejabat tapak pembinaan tersebut.
Barulah saya tahu mengapa sewaktu pertama kali melawat tapak dahulu, jurutera senior tersebut berkata demikian kepada saya. Pada saya, tiada sebarang masalah tentang itu. Ada bezakah memakai topi keselamatan kuning dengan topi keselamatan putih? Kalau ditakdirkan ada kemalangan berlaku, topi itu, putih atau kuning, fungsinya tetap untuk melindungi daripada berlaku kecederaan di kepala. Bukan untuk membezakan kasta dan darjat serta jurang pendapatan.

Andai ditakdirkan berlaku kemalangan di tapak pembinaan dan ada seorang buruh binaan bertopi keselamatan kuning dengan seorang jurutera bertopi keselamatan putih yang terlibat (menjadi mangsa) dan telah tertulis takdir bahawa mereka berdua akan mati di tempat kejadian, dapatkah topi putih tersebut memberi isyarat kepada malaikat Izrail, jangan ambil dahulu nyawa orang ini, kerana dia seorang jurutera. Lihat pada topi keselamatan putih yang dipakainya itu. Ambillah nyawa buruh itu dahulu kerana dia bertopi kuning. TIDAK! TIADA BEZANYA.

Kita semua manusia. Di sisi Allah sama sahaja. Kuning atau putih, buruh binaan atau jurutera, semua sama sahaja. Takutlah kepada Allah. Hanya Dia sahaja yang layak menilai hambanya. Biarpun besar pangkat di dunia, banyak harta melimpah sampai tak habis makan, tanpa iman dan takwa, di akhirat nanti ke mana agaknya tempat kita? Akhirat itu negeri yang kekal abadi. Dunia ini hanya sekadar persinggahan sementara. Pencapaian di dunia ini tidak ada apa-apa makna andai tidak diiringi dengan kesedaran kita bahawa dunia ini hanya pinjaman, apa-apa yang ada pada kita semuanya pinjaman. Allah yang paling berhak atas segala-galanya.
Sebenarnya banyak perkara di dunia ini kita ada-adakan untuk membeza-bezakan sesama manusia. Wang, pekerjaan, gelaran dan rupa paras antaranya. Semuanya untuk memberi taraf begitu begini. Lupakah kita ada Allah yang lebih tahu bagaimana dan apakah yang sepatutnya dan selayaknya untuk hamba-Nya itu. Sungguh manusia itu memang sangat suka memandai-mandai dalam membuat penilaian.